BRIGHTON raih kemenangan besar belasah Wolves. FOTO Reuters
BRIGHTON raih kemenangan besar belasah Wolves. FOTO Reuters
Reuters

Brighton, England: Brighton & Hove Albion membelasah Wolverhampton Wanderers 6-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam dengan Deniz Undav, Pascal Gross dan Danny Welbeck masing-masing menjaringkan dua gol untuk membolehkan Seagulls meraih kemenangan terbesar mereka di liga utama sekali gus mengukuhkan peluang layak ke pentas Eropah.

Kemenangan itu menjadi rangsangan yang amat diharapkan oleh pengurus Roberto de Zerbi seminggu selepas pasukannya ditewaskan menerusi sepakan penalti kepada Manchester United dalam aksi separuh akhir Piala FA dan tewas 1-3 kepada Nottingham Forest yang kini bergelut dalam liga.

"Kami banyak menderita dalam dua perlawanan terakhir," kata pengurus Brighton itu.

"Jawapan untuk hari ini, ia adalah hebat. Hari ini adalah perlawanan terbaik saya sebagai jurulatih."

Empat daripada gol terhasil pada separuh masa pertama dengan Undav membuka jaringan pada minit keenam.

Gross menggandakan kedudukan buat pasukan tuan rumah tujuh minit kemudian, selepas menyambut hantaran lintang Julio Enciso ke atas gawang dan menjaringkan gol ketiga Brighton pada minit ke-26 daripada satu lagi hantaran Enciso.

Welbeck menambah derita Wolves apabila dia mengatasi Maximilian Kilman untuk menanduk masuk hantaran lintang Pervis Estupinan pada minit ke-39 dan menjaringkan gol sekali lagi tiga minit selepas rehat dari luar kotak.

Brighton mendapat gol keenam mereka pada minit ke-66 hasil kesilapan Matheus Nunes untuk memberi peluang kepada Undav mencuri bola dan menewaskan penjaga gol untuk menjadikan ia kekalahan paling teruk Wolves musim ini.

Kemenangan itu meletakkan Brighton kembali kukuh ke dalam perlumbaan ke Eropah dengan pasukan De Zerbi kekal di tempat kelapan dan mengurangkan jurang dengan Liverpool di tangga ketujuh kepada satu mata dengan satu perlawanan dalam tangan.

Seagulls juga dua mata di belakang Aston Villa di tempat keenam dan Tottenham Hotspur di tempat kelima, yang kedua-duanya bermain lebih dua perlawanan.

"Saya rasa kami layak mencapai sasaran kami ke Eropah tetapi kita akan lihat nanti," tambah De Zerbi.

"Kita boleh capai. Perkara yang paling penting ialah tidak kehilangan DNA dan gaya kita."

Wolves kekal di tempat ke-13 dalam jadual dengan 37 mata.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Crystal Palace memastikan mereka terus kekal dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan dengan menewaskan West Ham 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2023 @ 8:35 AM