POTTER (kanan) menenangkan Kai Havertz selepas tamat perlawanan. FOTO AP
POTTER (kanan) menenangkan Kai Havertz selepas tamat perlawanan. FOTO AP
AFP

Brighton: Bos Chelsea, Graham Potter kembali ke Brighton dengan kekecewaaan selepas bekas kelab bimbingannya itu menamatkan rekod tanpa kalahnya dengan kemenangan 4-1 di Stadium Amex, awal pagi tadi.

Potter mengharungi sembilan perlawanan tanpa kekalahan sejak meninggalkan Brighton untuk mengendalikan The Blues.

Tetapi Brighton mengecewakan pengendali Chelsea sekali gus menyaksikan pengurus baharu Seagulls, Roberto De Zerbi menikmati kejayaan sulungnya sebaik menggalas tanggungjawab menggantikan Potter.

Brighton mendahului separuh masa pertama menerusi gol sendiri Ruben Loftus-Cheek dan Trevoh Chalobah yang menambah kesengsaraan Potter selepas Leandro Trossard meletakkan Brighton di depan seawal minit ke-5.

Kai Havertz merapatkan jurang pada awal babak kedua tetapi jaringan lewat Pascal Gross terus menutup peluang Chelsea.

"Brighton adalah pasukan yang bagus dan dengan penyokong serta suasana yang mereka cipta, ia meletakkan kami dalam situasi tertekan.

"Kami melakukan beberapa kesilapan. Saya tidak akan menyalahkan pemain kerana mereka sudah mempamerkan aksi terbaik.

"Mereka sudah melakukan segala-galanya. Saya bertanggungjawab atas kekalahan ini dan akan mencuba menjadikan pasukan lebih baik selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 8:11 AM