AFP

The Hague: Danny Blind dinamakan sebagai jurulatih baru Belanda semalam, mengambil alih tugas Guus Hiddink yang meninggalkan jawatan itu ketika pasukan Belanda bergelut untuk layak ke Euro 2016.

“Danny Blind dilantik sebagai jurulatih baru Belanda berkuat kuasa 1 Ogos ini,” menurut persekutuan bola sepak Belanda (KNVB) dalam satu kenyataan.

Blind, 53, bekas pemain kebangsaan Belanda, akan menandatangani kontrak hingga Ogos 2018 dengan rancangan penilaian selepas musim 2015-16, menurut KNVB.

“Kami gembira dapat cepat mencari pengganti anak tempatan selepas pemergian Guus Hiddink,” kata bos KNVB, Bert van Oostveen.

Hiddink melepaskan jawatannya Isnin lalu berikutan persembahan hambar Oranje pada kempen kelayakan bagi kejohanan di Perancis tahun depan.

Dengan berbaki empat perlawanan, Belanda, yang berakhir di tangga ketiga pada Piala Dunia tahun lalu di bawah kendalian Louis van Gaal, kini menghuni tangga ketiga Kumpulan A dengan 10 mata, tiga mata di belakang Republik Czech dan lima mata di belakang pendahulu Iceland.

Blind ketika ini penolong jurulatih Oranje dan bapa kepada pemain Manchester United dan Belanda, Daley Blind.

“Saya komited untuk bekerja keras dengan staf dan pemain bagi melayakkan diri ke Euro tahun depan,” ujar Blind.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2015 @ 7:44 AM