BERGSON giat menjalani latihan bagi persiapan menentang KL City FC pada aksi Liga Super di di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Rabu ini. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
BERGSON giat menjalani latihan bagi persiapan menentang KL City FC pada aksi Liga Super di di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Rabu ini. FOTO Ihsan Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Penyerang prolifik Johor Darul Ta'zim (JDT), Bergson Da Silva menyifatkan aksi menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, Rabu ini bakal menjanji pertembungan menarik.

Bergson menegaskan sudah tentu skuad kendalian Bojan Hodak akan beraksi bermati-matian untuk menidakkan usaha JDT memburu kemenangan kedua pada saingan liga selepas membuka tirai saingan dengan kemenangan 2-0 ke atas Terengganu FC sekali gus merangkul Piala Sumbangsih kali keenam berturut-turut.

"Bukan hanya memikirkan aksi berdepan KL City FC sahaja. Kami juga harus lebih mantap dan memperbaiki kelemahan untuk berada di tahap terbaik bagi menghadapi kesemua pasukan yang beraksi di saingan liga dan kita tahu saingan pada musim ini begitu panjang.

"Untuk aksi menentang KL City FC, kami akan terus membuat persiapan rapi dan akan turun beraksi dengan tahap keyakinan tinggi malah mahu meneruskan momentum kemenangan walaupun kami tahu akan berdepan tugas rumit berdepan pasukan yang dibarisi pemain terbaik pada musim ini.

"Walaupun aksi pertama agak kurang mantap tapi kami tahu dan bersedia bangkit dengan corak permainan lebih konsisten dan akan beraksi cara intensiti tinggi ketika dalam permainan kerana semua ini penting bagi memastikan tahap prestasi yang lebih mantap," katanya.

Ditanya mengenai status selaku penjaring terbanyak liga pada musim lalu selepas meledak 41 gol daripada 31 perlawanan bersama pasukan Harimau Selatan, pemain import kelahiran Brazil tampak enggan terlalu memikirkan mahu mengulangi pencapaian itu.

Sebaliknya dia mahu memberi fokus bagi membantuk JDT meneruskan rentak kemenangan dan menegaskan kemenangan yang digapai adalah kerjasama berpasukan yang dibentuk bukan bergantung kepada pemain individu sahaja.

"Saya tidak pernah terfikir mengenai perkara itu kerana bagi saya apa yang penting adalah untuk pasukan meraih kemenangan dan memfokus satu demi satu perlawanan yang akan diharungi.

"Musim ini tampak lebih sukar dengan setiap pasukan yang bersaing dalan kancah liga membuat persiapan rapi dan kami juga tidak boleh terlalu yakin sebaliknya bersedia untuk berdepan cabaran sengit daripada pasukan lawan," kata Bergson.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 8:22 PM