PEMAIN JDT menjalani latihan menjelang aksi menentang Kelantan FC. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT menjalani latihan menjelang aksi menentang Kelantan FC. FOTO Johor Southern Tigers
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio mengambil pendekatan enggan tertekan apabila berkunjung ke Kota Bharu untuk berdepan Kelantan FC pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia, di Stadium Sultan Muhammad ke- IV, malam esok.

Bagi pengendali kelahiran Argentina itu, misi utama beliau pada aksi pertama semestinya mahu mencari kemenangan selesa untuk dijadikan bekalan apabila kembali beraksi di laman sendiri pada aksi kedua nanti.

Beliau juga menyifatkan skuad bimbingan Rezal Zambery Yahya mampu menjadi `giant killer' seandainya JDT bersikap sambil lewa pada pertembungan itu dan mengingatkan setiap pemain skuad Harimau Selatan untuk memberi sepenuh tumpuan apabila beraksi di padang pada perlawanan itu nanti.

"Kita tetap menghormati setiap pasukan yang beraksi pada saingan Piala Malaysia, di tambah pula Kelantan FC adalah naib juara Liga Perdana pada musim ini, sudah tentu mereka mahu membuktikan sesuatu.

"Oleh itu, kami hanya akan fokus kepada diri kami sendiri kerana setiap perlawanan adalah sukar dan kami perlu lebih baik terutama dalam ketajaman penyudah dan kami perlu menggerakkan bola lebih pantas dan hantaran bola juga tepat.

"Yang pasti beberapa pemain yang direhatkan ketika aksi pusingan 16 ketika menentang Petaling Jaya City FC (PJ City FC), baru-baru ini akan kembali dalam skuad utama kerana sasaran kita dalam perlawanan itu inginkan kemenangan tapi tetap berwaspada dengan penampilan taktikal pasukan lawan," katanya.

Bidoglo juga mengingatkan barisan pemainnya supaya mengekalkan corak permainan pantas dan tersusun dengan mendominasi di posisi tengah yang menjadi nadi utama skuad Harimau Selatan mencorak gerakan berbahaya.

Justeru, kelibat Leandro Velazques yang diibaratkan `jeneral padang' harus lebih kreatif untuk membentuk kombinasi yang lebih mantap bersama barisan serangan yang bakal diterajui Bergson Da Silva dan Fernando Forestieri.

Kelibat Arif Aiman Hanapi juga bakal dipertaruhkan dan gandingannya bersama Matthew Davies di posisi bek kanan akan membantu dengan hantaran bola lintang yang boleh mengundang peluang menjaringkan gol buat Bergson dan Forestieri.

Benteng pertahanan JDT yang bakal menampilkan Jordi Amat bersama Shahrul Saad dan Feroz Baharudin perlu bersedia dengan ancaman kelibat penyerang The Red Warriors meningkat naik Nurshamil Abd Ghani yang bijak menghidu peluang terhidang.

"Berdepan Kelantan di gelanggang mereka bukanlah tugasan mudah malah ia pengalaman pertama buat pemain beraksi di stadium berkenaan dan mereka harus konsisten tanpa bermain dalam tekanan bagi mengelak terperangkap dengan helah pasukan lawan," kata Bidoglio.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2022 @ 12:16 PM