PAULO Josue. -FOTO NSTP
PAULO Josue. -FOTO NSTP
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Saya sedia jika dipanggil oleh kem negara", demikian keterujaan tonggak naturalisasi baharu, Paulo Josue yang akui sedia memperkuatkan skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Josue, 33, yang menerima kerakyatan selepas beraksi dan tinggal di negara ini di Liga Malaysia lebih lima tahun dijangka mampu memperkuatkan bahagian tengah skuad kendalian Kim Pan-gon.

Bagaimanapun dia akui, belum dihubungi atau dimaklumkan mengenai panggilan ke skuad kebangsaan yang dijadual diadakan hujung bulan depan bagi menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong dan Turkmenistan di Johor Bahru.

"Saya tak dapat apa-apa lagi panggilan secara rasmi (daripada skuad kebangsaan), tapi saya sedia untuk memberi terbaik jika dipanggil.

"Namun buat masa ini, fokus saya adalah untuk membantu KL City (Kuala Lumpur City FC) terlebih dulu dan beri sepenuhnya dalam perlawanan bagi memastikan kelab memenangi setiap aksi," katanya ketika ditemui selepas aksi Liga Super babitkan KL City dan Penang FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, malam tadi.

Dalam aksi pertama liga itu, KL City terpaksa berkongsi mata selepas diikat Penang FC 2-2 dengan dua gol skuad Warga Kota itu disumbangkan sendiri oleh Josue.

Ditanya tentang jaringan terbabit, pemain yang berasal dari Brazil itu akui ia cukup manis di mana gol berkenaan hadir pada hari dia disahkan sebagai pemain naturalisasi negara.

"Perasaan itu (meledak dua gol) memang gembira, apatah lagi ia diraih atas status pemain tempatan. Dua gol saya itu adalah sebagai pemain tempatan bukan import lagi," katanya.

Semalam, Arena Metro melaporkan taring skuad Harimau Malaya tampaknya makin runcing dan tajam menjelang kempen Piala Asia di Qatar Januari depan apabila disahkan dua pemain import dalam saingan Liga M berjaya dinaturalisasikan.

Dua tonggak yang dimaksudkan itu adalah Josue yang juga ketua pasukan KL City dan pemain tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Endrick dos Santos.

Difahamkan, kedua-dua tonggak berkenaan dinaturalisasikan oleh pasukan masing-masing sekali gus menjadikan mereka adalah pemain naturalisasi keenam dan ketujuh negara.

Sebelum ini, lima pemain yang sudah mendapat kerakyatan negara ini adalah Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Lee Tuck dan Sergio Aguero.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 12:55 PM