MANCHESTER City nikmati kenaikan pendapatan kepada RM3.41 bilion.
MANCHESTER City nikmati kenaikan pendapatan kepada RM3.41 bilion.
AFP

Manchester, United Kingdom: Manchester City menerajui Deloitte Football Money League untuk tahun kedua berturut-turut manakala Liga Perdana Inggeris (EPL) menampilkan separuh daripada 20 kelab teratas buat kali pertama.

Jumlah keseluruhan pendapatan 20 kelab teratas hampir menyamai nilai sebelum pandemik iaitu 9.2 bilion euro (RM42.88 bilion) bagi musim 2021/22, menurut laporan dikeluarkan semalam.

Peningkatan itu banyak disumbangkan hasil jualan tiket perlawanan harian berjumlah 1.3 bilion euro (RM6.06 bilion) selepas dua musim yang terjejas susulan kesan pandemik koronavirus.

EPL turut menyaksikan kenaikan dalam penjualan hak penyiaran televisyen dan perkembangan kukuh komersil yang membolehkan 11 kelab liga utama itu menduduki 20 teratas buat kali pertama.

Leeds dan Newcastle menggantikan Wolves dan Zenit St Petersburg dalam satu-satunya perubahan daripada senarai 20 teratas musim lalu.

Jumlah pendapatan City melonjak 13 peratus kepada 731 juta euro (RM3.41 bilion) membolehkan mereka mengekalkan kedudukan teratas mengatasi juara Eropah Real Madrid yang meraih 714 juta euro (RM3.33 bilion).

Liverpool melonjak ke tangga ketiga dengan 702 juta euro (RM3.27 bilion), kedudukan tebaik mereka dalam sejarah Money League dan memintas Manchester United buat kali pertama, hasil kejayaan mara ke final Liga Juara-Juara.

United (689 juta euro - RM3.21 bilion) di tangga keempat mengatasi Paris Saint-Germain dan Bayern Munich dengan kedua-duanya mengutip 654 juta euro (RM3.05 bilion).

Barcelona yang menduduki tangga teratas Money League dua tahun lalu jatuh di tempat ketujuh (638 juta euro - RM2. 97bilion) selepas tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara selain masalah perkembangan komersil yang perlahan berbanding pesaing mereka.

Chelsea, Tottenham dan Arsenal melengkapkan 10 teratas.

"Kekuatan kewangan kelab EPL mungkin sukar dicabar pada musim akan datang," Sam Boor, Pengarah Deloitte Sports Business Group.

"Malah mungkin 20 kelab EPL mampu tersenarai dalam 30 teratas Money League."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 10:54 AM