SYIHAN (dua dari kiri) dan Ahmad Khuzaimi (kiri) pada majlis pelancaran jersi baharu Harimau Malaya, semalam. FOTO FB FAM
SYIHAN (dua dari kiri) dan Ahmad Khuzaimi (kiri) pada majlis pelancaran jersi baharu Harimau Malaya, semalam. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Debaran dua pemain tonggak Harimau Malaya makin kencang menanti senarai nama akan diumumkan pengendali, Kim Pan-gon menjelang saingan Piala AFF hujung bulan depan.

Jelas penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC), Syihan Hazmi, dia tidak sabar untuk membantu skuad negara di Piala AFF nanti.

Katanya, kejutan mungkin boleh berlaku apabila jurulatih boleh memanggil sesiapa saja yang dimahukan dan dia menyerahkan nasibnya di tangan Pan-gon untuk panggilan kali ini.

"Soal rezeki kita tak tahu, kadang-kadang kita tidak tahu akan cedera atau tidak, tambahan pula semua keputusan terletak di tangan ketua jurulatih Kim Pan-gon.

"Memang saya bersemangat untuk negara. Semua pemain yang bermain di Liga Super turut mempunyai perasaan sama seperti saya," katanya.

Berdasarkan aksi mantap Syihan bersama skuad negara dan NSFC sebelum ini, dijangka Pan-gon akan terus menagih khidmatnya untuk mengawal gawang negara di Piala AFF apabila senarai pemain ke kem latihan pusat dijadual diumumkan pada minggu depan.

Pandangan sama diluahkan rakan sepasukan di NSFC yang juga tonggak pertahanan tengah, Ahmad Khuzaimi Piee.

Menurutnya, mana-mana pemain profesional sudah semestinya mahu mewakili negara di pentas antarabangsa.

"Saya rasa mana-mana pemain yang bermain di Liga Super dan liga di Malaysia semua ingin tersenarai dalam pasukan kebangsaan bagi menghadapi kejohanan Piala AFF ini.

"Jika saya terus diberi kepercayaan, saya akan cuba bagi yang terbaik untuk edisi kali ini sebab kita tahu peminat menunggu sesuatu yang baru dari pasukan dan saya harap pemain yang dipanggil dapat beri sesuatu kelainan," kata Khuzaimi.

Sebelum bersaing di Piala AFF pada 21 Disember ini, Malaysia akan mengharungi dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil dan menentang Maldives lima hari kemudian di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Dalam kempen Piala AFF, skuad kendalian Pan-gon diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 3:24 PM