GIROUD meraikan jaringan pertama Perancis bersama-sama Mbappe. FOTO Reuters
GIROUD meraikan jaringan pertama Perancis bersama-sama Mbappe. FOTO Reuters
AFP

Doha: Kylian Mbappe membantu Olivier Giroud meledak gol bersejarah sebelum dia sendiri menjaringkan dua gol ketika membantu juara bertahan, Perancis mara ke suku akhir Piala Dunia dengan kemenangan 3-1 ke atas Poland, sebentar tadi.

Gol pembukaan Giroud seminit sebelum berakhir babak pertama, adalah yang ke-52 untuk skuad kebangsaan sekali gus menyaksikannya memintas Thierry Henry untuk muncul pemain meledak gol terbanyak untuk Perancis.

Mbappe kemudian meledak gol minit ke-74 untuk mematikan kebangkitan Poland sebelum menambah satu lagi gol di masa kecederaan sekali gus menyaksikannya sudah meledak sembilan gol dalam hanya 11 perlawanan di Piala Dunia.

Robert Lewandowski menjaringkan gol saguhati untuk Poland pada hujung masa kecederaan selepas menyempurnakan sepakan penalti.

Perancis bagaimanapun kekal melangkah ke suku akhir dan masih berada di landasan tepat untuk muncul pasukan pertama mempertahankan kejuaraan Piala Dunia sejak Brazil melakukannya 60 tahun lalu.

Perancis menjadi pasukan pilihan untuk pertemuan dengan Poland yang bergelut di peringkat kumpulan.

Mbappe adalah antara sembilan pertukaran yang dilakukan selepas tewas di tangan Tunisia pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan manakala kapten dan penjaga gol, Hugo Lloris juga kembali beraksi untuk meraih kap ke-142.

Ia sekali gus menyaksikannya menyamai rekod penampilan terbanyak untuk Perancis bersama-sama Lilian Thuram yang menyaksikannya anaknya, Marcus masuk sebagai pemain gantian.

Ia adalah peristiwa yang mencipta pelbagai sejarah untuk Perancis namun apa yang paling penting ialah memenuhi impian jurulatih, Didier Deschamps memastikan pasukan ke ke suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 1:34 AM