Pemain Perancis, Kingsley Coman. FOTO AP
Pemain Perancis, Kingsley Coman. FOTO AP
Reuters

Doha: Perancis akan memulakan pertembungan kelompok 16 terbaik Piala Dunia sebagai pasukan pilihan namun Poland tidak dinafikan mempunyai barisan lengkap untuk menggugat gelaran juara bertahan skuad Les Bleus di Stadium Al Thumama.

Perancis layak ke peringkat kalah mati dengan berbaki satu perlawanan selepas dua aksi bergaya berdepan Australia dan Denmark dan meneruskan saingan selepas kekalahan 1-0 ke atas Tunisia dalam perlawanan terakhir Kumpulan D dengan skuad simpanan mereka.

Poland mara sekalipun tewas 2-0 kepada Argentina dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan C mereka. Bersandarkan kekuatan di barisan pertahanan dan sentuhan penyerang prolifik Robert Lewandowski.

Perancis akan memulakan saingan dengan kebanyakan pemain utama mereka selepas direhatkan dan mampu menjadi kunci penting menentang Poland.

"Mereka mempunyai pemain berpengalaman. Sudah pasti Lewandowski pemain yang menjadi tumpuan, salah seorang penyerang terbaik di dunia. Kami tidak seharusnya memandang rendah pada mereka." kata jurulatihnya, Didier Deschamps.

Penyerang, Kingsley Coman turut sama mengakui mereka perlu berwaspada.

"Ini adalah perlawanan Piala Dunia, apa saja boleh berlaku. Menjadi pasukan pilihan bukan segala-galanya." katanya.

Perancis kerap bergelut berdepan pasukan kompak yang bertahan, seperti Poland, tetapi Deschamps diyakini mempunyai cara untuk mengatasinya.

Ketika Kylian Mbappe, yang memburu rekod di Qatar selepas menjaringkan tujuh gol di Piala Dunia sebelum berusia 24 tahun, mungkin sukar menggunakan kelajuannya bagi merobek pertahanan lawan namun Ousmane Dembele boleh menjadi ancaman utama buat Perancis.

Penyerang yang mempunyai kemahiran menggelecek, mampu bergerak solo mungkin memberi masalah buat Poland, yang juga terpaksa memberi perhatian kepada ketajaman Olivier Giroud di dalam kotak penalti.

Penyerang berusia 36 tahun itu akan menjadi Penjaring Terbanyak sepanjang zaman Perancis jika kembali meledak untuk jaringan antarabangsa ke 52 dan mendahului Thierry Henry dengan satu gol.

Mbappe juga ancaman, terutama kombinasi bersama pemain pertahanan kiri, Theo Hernandez yang kerap membantu barisan serangan.

Pertahanan Perancis ketika ini dilihat dibarisi kombinasi mantap dengan Raphale Varane dilihat berada di luar prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan hamstring dan pemain Manchester United itu bakal mengembalikan prestasi terbaik untuk menghalang kemaraan Lewandowski.

"Cara terbaik untuk bertahan menentangnya adalah dengan memastikan dia tidak dapat mengawal bola." kata Coman yang juga bekas rakan sepasukannya di Bayern Munich.

Kubu terakhir Perancis yang dikawal penjaga gol, Hugo Lloris, akan mengambil perhatian tinggi apabila Lewandowski menerima bola di zon bahaya.

Lloris hampir pasti melengkapkan kap penampilan ke 142, yang membolehkan dirinya menyamai pemegang rekod Lilian Thuram.

Pemenang pada aksi Ahad ini akan berdepan sama ada England atau Senegal pada suku akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Disember 2022 @ 10:11 PM