MBAPPE (kiri) menjaringkan gol keempat untuk Perancis. FOTO AP
MBAPPE (kiri) menjaringkan gol keempat untuk Perancis. FOTO AP
AFP

Paris: Kylian Mbappe cemerlang pada perlawanan pertamanya sebagai kapten Perancis apabila meledak dua gol dan satu bantuan gol ketika finalis Piala Dunia itu menang 4-0 menentang Belanda dalam perlawanan kelayakan Euro 2024 di Paris, awal pagi tadi.

Mbappe menggalas tugas yang ditinggalkan Hugo Lloris dan era baharu bermula dengan baik apabila bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu menjadi watak penting gol Antoine Griezmann hanya selepas dua minit permainan.

Dayot Upamecano menjaringkan gol kedua pada minit ke-8 dan Mbappe mencatatkan namanya dalam senarai penjaring untuk menjadikan kedudukan 3-0 sebelum berakhir separuh masa pertama.

Mbappe kemudian menyumbat gol kedua peribadi dua minit sebelum tamat aksi Kumpulan B di Stade de France, tetapi bintang Belanda, Memphis Depay mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan namun diselamatkan oleh penjaga gol, Mike Maignan.

Ia adalah aksi meyakinkan daripada skuad bimbingan Didier Deschamps menentang Belanda yang kehilangan beberapa pemain utama selepas jangkitan virus melanda skuad itu.

Perancis akan berkunjung ke Dublin untuk menentang Republik Ireland tetapi ia agak mustahil untuk mereka gagal melayakkan diri ke Euro tahun depan memandangkan dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan akan layak.

"Kami tidak mahu mengecewakan peminat kami. Ini adalah perlawanan pertama di sini selepas Piala Dunia dan kami mahu meneruskan rentak sebelum ini, kecuali ketika final.

"Saya cuba melakukan tugas saya, membuat keputusan dan memimpin rakan sepasukan. Ia berhasil hari ini tetapi ini baru permulaan," kata Mbappe.

Dengan Lloris dan bek tengah, Raphael Varane sudah bersara, Deschamps melakukan empat pertukaran ke atas skuad yang beraksi di final Piala Dunia.

Maignan menggantikan Lloris di gawang dan Ibrahima Konate mengisi posisi bek tengah, manakala Kingsley Coman dan Randal Kolo Muani menggantikan Osmane Dembele yang cedera dan Olivier Giroud yang bermula di bangku simpanan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mac 2023 @ 7:38 AM