Pemain Tunisia, Mohamed Ali Ben Romdhane (kiri) dicabar pemain Perancis, Randal Kolo Muani pada aksi Kumpulan D Piala Dunia. FOTO AP
Pemain Tunisia, Mohamed Ali Ben Romdhane (kiri) dicabar pemain Perancis, Randal Kolo Muani pada aksi Kumpulan D Piala Dunia. FOTO AP
AFP

Doha: Pemain kelahiran Perancis, Wahbi Khazri menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Tunisia mencipta kemenangan mengejut 1-0 ke atas juara bertahan, Perancis di Piala Dunia, namun belum cukup untuk meneruskan kemaraan dalam kelompok 16 terbaik.

Perancis sudahpun layak ke saingan kalah mati. Jurulatihnya, Didier Deschamps melakukan sembilan pertukaran dibayangi prestasi hambar dan Khazri menghukum kealpaan mereka pada minit ke-58 menerusi jaringan di Stadium Education City.

Tunisia hampir menangguhkan kejayaan mereka ketika jaringan Antoine Griezmann pada masa kecederaan tidak dibenarkan selepas pemeriksaan menerusi VAR.

Khazri yang membesar di Corsica dan beraksi di Ligue 1 untuk Montpellier, adalah salah seorang daripada enam pemain dalam pasukan kebangsaan Tunisia yang lahir di Perancis dan dia mempunyai kap penampilan bersama skuad bawah 21 tahun Perancis.

Terdapat kelompok besar komuniti Tunisia di Perancis gembira dengan kejayaan itu, ia adalah kemenangan pertama negara itu berdepan jaguh Eropah di Piala Dunia.

Bagaimanapun, mereka perlu memasstikan Australia tidak memperolehi mata pada saingan Kumpulan D untuk mengesahkan tempat dalam kelompok 16 terbaik buat pertama kali.

Skuad 'The Socceroos' sebaliknya menang 1-0 ke atas Denmark bermakna mereka mara bersama Perancis ke pusingan berikutnya.

Juara Dunia dan Australia menamatkan saingan dengan mata yang sama iaitu enam mata tetapi Perancis di kedudukan teratas dengan perbezaan gol dan akan menanti naib juara Kumpulan C dalam saingan 16 terakhir pada Ahad.

Skuad Les Bleus menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya selepas memenangi dua perlawanan pembukaan mereka di Qatar jadi tidak terkejut apabila Deschamps melakukan perubahan kepada skuadnya.

Kylian Mbappe salah seorang pemain yang direhatkan dengan pemain Eintracht Frankfurt, Randal Kolo Muani memulakan aksi pertama bersama skuad kebangsaan di bahagian serangan.

Selain pemain pertahanan kanan, Axel Disasi serta pemain tengah Real Madrid, Eduardo Camavinga memulakan permainan di pertahanan kiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2022 @ 1:45 AM