N`Golo Kante (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan Perancis. FOTO Agensi
N`Golo Kante (kiri) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan Perancis. FOTO Agensi
AFP

Lisbon: N'Golo Kante menjaringkan gol keduanya pada saingan antarabangsa ketika penyandang juara Piala Dunia, Perancis mengalahkan juara Eropah, Portugal 1-0 di Lisbon bagi memastikan tempat ke pusingan akhir Liga Negara-Negara.

Kante yang juga pemain tengah Chelsea, pantas bertindak menyambar bola ditepis penjaga gol ke gawang pada minit ke-54 seterusnya membawa Perancis ke tangga teratas Kumpulan 3 menjelang perlawanan terakhir kumpulan.

Perancis mendahului Portugal dengan tiga mata menjelang saingan awal pagi Rabu ini berdepan Sweden di Paris namun sudah mengesahkan tempat berdasarkan rekod pertemuan yang memihak mereka.

Skuad kendalian Didier Deschamps menjadi pasukan pertama layak ke pusingan akhir yang akan berlangsung pada Oktober tahun depan.

Portugal menang kejuaraan sulung di laman sendiri pada 2019.

Dengan kemenangan buat mana-mana negara sudah cukup bagi menjamin kedudukan teratas, Deschamps melakukan dua perubahan kepada pasukan yang seri 0-0 berdepan Portugal di Stade de France bulan lalu.

Kingsley Coman menggantikan Kylian Mbappe yang cedera di bahagian serangan dan Anthony Martial dipilih mengatasi Olivier Giroud yang juga penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 8:06 AM