Pemain Perancis, Adrien Rabiot (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO AP
Pemain Perancis, Adrien Rabiot (kiri) menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO AP
Reuters

Doha: Tumpuan sekali lagi terarah pada Kylian Mbappe ketika Perancis berdepan England dalam aksi epik peringkat suku akhir Piala Dunia namun juara bertahan itu berharap kekurangan pilihan di bangku simpanan tidak akan mengganggu persembahan mereka pada Ahad.

Skuad Les Bleus, yang mengintai peluang menjadi pasukan pertama untuk mengekalkan kejuaraan sejak Brazil melakukannya pada 1958-1962, bergelut kecederaan sebelum kejohanan dengan pemain tengah Paul Pogba dan Ngolo Kante, dan penyerang Karim Benzema juga terpaksa disisihkan.

Mbappe beraksi cemerlang di Qatar meledak lima gol dan dua bantuan jaringan, sementara Olivier Giroud sudah menjaringkan tiga gol, namun cabaran belum berakhir apabila berdepan pasukan bertaraf dunia.

Selepas menang ke atas Australia dan Denmark dalam dua perlawanan awal, pemain simpanan Perancis gagal meneruskan rentak kemenangan ketika tewas 1-0 kepada Tunisia pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Pengendali Perancis, Didier Deschamps menyenaraikan gandingan serangan bertenaga dengan Mbappe, Giroud dan Ousmane Dembele, sementara Adrien Rabiot dan Aurelien Tchouameni berjaya memainkan peranan baik di bahagian tengah.

Antoine Griezmann juga menjadi penghubung terbaik antara barisan tengah dan menyerang.

Di barisan pertahanan, begitupun, Perancis berdepan masalah.

Jules Kounde bukan pertahanan kanan asli dan pertahanan kiri, Theo Hernandez sentiasa gemar menyerang, yang mungkin memberi masalah untuk mengekang jentera serangan England.

Rabiot sedar kemampuan pemain England di ruang sayap tetapi menjangkakan kemudian terdapat beberapa perubahan berbanding perlawanan lalu.

"Mereka mempunyai pemain yang pantas di bahagian sayap, pertahanan yang sangat baik.

"Mereka tidak akan mengambil semua risiko kerana kami juga mampu mengecewakan mereka di bahagian sayap." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 7:19 PM