PEMAIN Perancis, Paul Pogba (kiri) diasak pemain Amerika Syarikat, Julian Green pada aksi persahabatan di Lyon. FOTO EPA-EFE
PEMAIN Perancis, Paul Pogba (kiri) diasak pemain Amerika Syarikat, Julian Green pada aksi persahabatan di Lyon. FOTO EPA-EFE
Reuters

SKUAD Piala Dunia Perancis yang diramal muncul juara kejohanan di Russia 2018 nyaris diaibkan Amerika Syarikat (AS) dalam aksi persahabatan yang berakhir 1-1 hasil jaringan penyamaan lewat permainan manakala Sepanyol juga berdepan nasib sama ketika menang tipis mengatasi Tunisia 1-0, awal pagi tadi.

Begitupun, pasukan bukan pilihan seperti Serbia, Denmark, Maghribi dan Australia menang aksi masing-masing tetapi Sweden terikat tanpa jaringan ketika melayan Peru.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps membariskan pasukan utama Perancis untuk membentuk keserasian pemain bagaimanapun dihukum oleh pemain AS, Julian Green yang mendahului pada separuh masa pertama dengan merembat melepasi Hugo Lloris.

Pasukan AS yang tidak layak ke Russia hampir menambah jaringan hinggalah ayam tambatan Perancis, Kylian Mbappe menyamakan kedudukan 12 minit sebelum tamat sepenuh masa.

“Ia sangat menarik jika kita menang perlawanan sebagai persiapan. Kami kekurangan sedikit bisa. Kita ada masalah pada 20 minit separuh masa kedua tetapi kemudiannya kami menguasai saingan,” kata Deschamps. 

“Saya menurunkan sebanyak mungkin pemain saya dalam semua perlawanan persahabatan ini, saya harap semua anak buah saya cergas dan sedia disenaraikan untuk perlawanan pertama Piala Dunia nanti.

Masih banyak persoalan belum terjawab menyelubungi persiapan Les Bleus menjelang perlawanan pembukaan menentang Australia, yang berjaya menumbangkan Hungary 2-1, semalam.

Denmark pula menang 2-0 ke atas Mexico hasil rembatan padu Yussuf Poulsen dan Christian Eriksen, manakala Peru mudah mengekang asakan Sweden.

Pasukan serangan Sepanyol juga menimbulkan tanda tanya apabila bertungkus lumus untuk mengatasi benteng Tunisia.

Bekas sayap Liverpool, Iago Aspas berjaya memecah kebuntuan enam minit sebelum tamat masa hasil gerakan Diego Costa bagi melihat jurulatihnya, Julen Lopetegui bangga merakam 20 kemenangan tanpa kalah sejak mengendalikan Sepanyol.

Seteru mereka dalam Kumpulan B, Maghribi pula mudah mengatasi Estonia 3-1, manakala Serbia kenduri gol menewaskan Bolivia 5-1. 

Dalam aksi itu menyaksikan penyerang Newcastle United, Aleksandar Mitrovic menjaringkan hatrik dan bekas pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic melakukan sepakan voli yang memukau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 8:05 AM