JDT kekal belum kalah dalam perlawanan Liga Malaysia musim ini dan menjadi pilihan menjuarai Piala Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS.
JDT kekal belum kalah dalam perlawanan Liga Malaysia musim ini dan menjadi pilihan menjuarai Piala Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir memilih Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu FC (TFC), Sabah FC dan Negeri Sembilan FC (NSFC) untuk mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Beliau memilih empat pasukan itu yang paling konsisten dan menduduki empat kelompok teratas Liga Super.

Katanya, aksi suku akhir antara JDT dan Kelantan FC tidak akan memberi sebarang kesukaran buat skuad Harimau Selatan untuk melepasi halangan itu, begitu juga dengan Sabah FC yang tidak berdepan masalah mengenepikan satu lagi pasukan Liga Perdana iaitu Kuching City FC.

"JDT kita tahu 'kelas' mereka tak sama dengan pasukan dalam Malaysia. Mereka jauh tinggalkan pasukan lain ke depan dan secara peribadi, JDT tak ada masalah nak menang dengan Kelantan.

"Sabah pun sama apabila mereka cukup konsisten dalam Liga Super dan perlawanan dengan Kuching City bukan satu masalah besar buat mereka," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, momentum baik ditunjukkan TFC terutama di pusingan 16 dengan membelasah Sri Pahang menerusi agregat 9-3 sebelum ini menunjukkan skuad Penyu itu mempunyai jentera serangan cukup berbisa.

Katanya, TFC yang muncul naib juara Liga Super dan naib Juara Piala FA dilihat sedang mencapai kemuncak prestasi dalam Piala Malaysia.

"Momentum itu akan diteruskan sehingga final, dan silap-silap kalau jumpa JDT di final nanti, JDT boleh ditewaskan.

"Negeri Sembilan antara pasukan konsisten musim ini, jadi saya pilih Negeri Sembilan biarpun perlawanan dengan Selangor itu mungkin peluang 50-50, tetapi kelebihan milik Negeri Sembilan," katanya.

Hujung minggu ini akan menyaksikan empat aksi pertama suku akhir pertama, manakala aksi timbal balik akan dilangsungkan pada minggu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 7:43 PM