PEMAIN Kuching City FC (jersi hitam) berebut bola dengan pemain Penang FC pada perlawanan di Stadium Negeri, malam tadi. FOTO Bernama
PEMAIN Kuching City FC (jersi hitam) berebut bola dengan pemain Penang FC pada perlawanan di Stadium Negeri, malam tadi. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Halangan pertama sudah ditempuhi, kini pasukan digelar 'The Giant Killer' iaitu Kelantan FC dan Kuching City FC bakal menempuh rintangan lebih mencabar berdepan gergasi Liga Super di suku akhir Piala Malaysia, hujung minggu ini.

Kelantan FC akan berdepan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) manakala Kuching City bertemu pasukan di tempat ketiga Liga Super, Sabah FC.

Menurut pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya, kejayaan melangkah ke suku akhir dengan menewaskan Sarawak United menerusi agregat 2-1 adalah hasil kerjasama berpasukan dan semangat melawan dipamerkan anak buahnya.

Beliau berkata, walaupun berdepan JDT di suku akhir, dia percaya anak buahnya mampu memberi tentangan sengit dengan mencipta keputusan positif kelak.

"Barisan pemain menunjukkan semangat juang tinggi dan mengekalkan momentum permainan dengan menyekat kemaraan lawan.

"Saya mengharapkan pemain bijak menggunakan peluang apabila bertemu JDT. Walaupun kelebihan dilihat kepada pasukan Harimau Selatan itu, dalam bola sepak segalanya boleh berlaku," katanya.

Sementara itu, pengendali Kuching City, Irfan Bakti Abu Salim berkata, sejarah baharu tercipta buat pasukannya apabila berjaya melangkah ke suku akhir.

Irfan berkata, barisan anak buahnya mengekang setiap asakan Penang FC, sekali gus memastikan slot suku akhir bertemu Sabah milik mereka.

"Satu sejarah buat Kuching City kerana melangkah ke suku akhir dengan menewaskan pasukan Liga Super menerusi agregat 4-3.

"Namun, kita tidak boleh terlalu gembira kerana menunggu Kuching City di pusingan seterusnya adalah pasukan cukup kuat iaitu Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 6:11 PM