PEMAIN import Kuching City FC, (kiri) diasak pemain Penang FC, Rafael Vitor Santos De Freitas pada aksi perlawanan TM Piala Malaysia Pusingan 16 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
PEMAIN import Kuching City FC, (kiri) diasak pemain Penang FC, Rafael Vitor Santos De Freitas pada aksi perlawanan TM Piala Malaysia Pusingan 16 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Sarawak United dan Penang FC dilihat berisiko tersingkir daripada saingan Piala Malaysia musim ini dengan dua pasukan Liga Perdana berkemampuan mengenepikan lawan dari Liga Super itu.

Dua pasukan Liga Perdana yang dimaksudkan adalah Kelantan FC dan Kuching City FC yang bakal menjadi tuan rumah pada aksi kedua pusingan pertama, esok.

Dalam perlawanan pertama sebelum ini, Kelantan dibimbing Rezal Zambery Yahya meraih bekalan satu gol selepas kemenangan 1-0 ke atas Sarawak United, manakala Kuching City pula mengikat Penang dengan 2-2 di tempat lawan sebelum ini.

Menurut jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan, saingan Piala Malaysia sememangnya menjanjikan elemen kejutan dan beliau tidak terkejut sekiranya dua pasukan Liga Perdana itu mampu 'membunuh' dua pasukan Liga Super itu.

"Saya selalu katakan, Piala Malaysia ini berbeza dan sentiasa menghadirkan kejutan demi kejutan. Jadi tak mustahil Kelantan dan Kuching akan boleh mara ke suku akhir, memandangkan mereka juga akan bermain di tempat sendiri di depan penyokong mereka.

"Saya jangka dua pasukan Liga Perdana boleh mara ke peringkat seterusnya, dan ia peluang yang perlu digunakan sebaiknya oleh dua pasukan itu," katanya.

Selain itu, Wan Jamak yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, beliau memilih Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC untuk sekali lagi berentap di final, selepas kedua-duanya bertemu di pentas akhir Piala FA sebelum ini.

"Berdasarkan prestasi semasa, kita boleh lihat JDT dan Terengganu boleh pergi sehingga ke final, malah dalam laluan ke final pun mereka tidak akan bertemu.

"Jadi agak menarik untuk kita lihat adakah sekali lagi mereka akan bertemu, dan ia pastinya menarik untuk disaksikan," katanya.

Pada aksi pertama sebelum in, selain Kelantan dan Kuching City, JDT dan Terengganu antara pasukan yang mencatat kemenangan selesa ke atas lawan.

masing-masing dengan menumbangkan Petaling Jaya City 4-0 dan Sri Pahang 5-1.

Kemenangan besar turut dilakar juara bertahan iaitu Kuala Lumpur City FC apabila menjinakkan PDRM FC 3-0, sementara Selangor FC yang juga bekas juara 33 kali Piala Malaysia pula menundukkan Kelantan United dengan 2-0.

Dua lagi pasukan pilihan iaitu Negeri Sembilan FC dan Sabah FC, masing-masing bakal mempertahankan kelebihan tipis diraih apabila turun menanti kunjungan Kedah Darul Aman FC dan UiTM FC.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 6:30 AM