DIAKITE (kanan) harap rakan sepasukan manfaatkan aksi terakhir di gelanggang sendiri menentang Sabah FC, Sabtu ini. FOTO FB MFL
DIAKITE (kanan) harap rakan sepasukan manfaatkan aksi terakhir di gelanggang sendiri menentang Sabah FC, Sabtu ini. FOTO FB MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemain pertahanan Terengganu FC (TFC), Pape Diakite enggan kesilapan sama menghukum pasukan apabila menentang Sabah FC, Sabtu ini yang menjadi aksi Liga Super terakhir mereka di laman sendiri.

Jelasnya, kali terakhir mereka tewas di tangan Sabah pada Julai lalu adalah berpunca daripada kesilapan kecil yang tidak sepatutnya berlaku dan berdasarkan prestasi semasa, anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak boleh dipandang mudah.

Bahkan, TFC perlu terus mengutip mata dalam baki empat aksi bagi memastikan mereka mampu mendaki kedudukan liga sekurang-kurangnya tiga terbaik.

Apatah lagi, pastinya skuad kendalian Nafuzi Zain enggan mengecewakan penyokong memandangkan Sabtu ini adalah aksi terakhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi Liga Super, musim ini.

"Ini tahun pertama saya di TFC dan saya boleh katakan pengalaman bersama penyokong di sini sangat bagus.

"Cuma saya harap penyokong akan sentiasa di belakang kami walaupun menang, kalah, atau seri sekalipun dan yang penting, jangan lupa datang untuk aksi terakhir di laman sendiri nanti.

"Kita tahu Sabah adalah pasukan begitu konsisten dan ini tidak mudah untuk TFC yang perlu waspada dengan kesilapan kecil yang boleh menghukum dan tidak boleh tewas sekali lagi," katanya.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata, mereka sudah melupakan kekecewaan tewas di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi final Piala FA lalu, sambil menyifatkan pasukan kini lebih bersedia untuk menghadapi baki perlawanan dan aksi di pentas Piala Malaysia.

Menurutnya, kekecewaan di aksi final itu memberi banyak pengajaran dan pengalaman.

"Sekarang adalah masa untuk pasukan terus ke hadapan dan fokus kepada liga bagi menamatkan saingan pada kedudukan terbaik.

"Saya harap penyokong dapat beri sokongan sama kerana kita tahu liga amat penting untuk pasukan", katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:53 PM