PEMAIN pertahanan, Dion Cools memangku bayi lelakinya ketika meraikan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh, sekali gus layak ke Piala Asia 2023. FOTO ARKIB NSTP
PEMAIN pertahanan, Dion Cools memangku bayi lelakinya ketika meraikan kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh, sekali gus layak ke Piala Asia 2023. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bagaimanakah status tonggak kacukan berpengaruh negara, Dion Cools menjelang saingan Piala AFF pada hujung Disember depan?

Adakah dia akan memperkuatkan skuad Harimau Malaya atau khidmatnya terpaksa dilupakan ekoran tuntutan kelab FK Jablonec dalam saingan Liga Republik Czech, berikutan kempen AFF dijalankan di luar jendela aksi antarabangsa Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa).

Lantas, ia bermakna Cools mungkin mengikut jejak dua lagi pemain terbaik Asia Tenggara dari Vietnam, Nguyen Quang Hai dan pemain Thailand, Chanathip Songkrasin yang tidak mendapat pelepasan kelab masing-masing untuk beraksi di Piala AFF nanti.

Quang Hai yang dianggap 'Messi Vietnam' ketika ini beraksi di Eropah bersama Pau FC dalam Ligue 2 di Perancis, manakala Chanathip pula mewakili Kawasaki Frontale di liga utama Jepun.

Arena Metro cuba mendapatkan maklum balas pengurusan skuad Harimau Malaya mengenai status Cools, namun gagal apabila sebaliknya diminta untuk menunggu sehingga pengumuman dibuat pengendali pasukan Kim Pan-gon dalam masa terdekat ini.

Cools, 26, adalah tonggak utama skuad kendalian Pan-gon dan peranannya terutama di bahagian pertahanan cukup besar.

Malah, komitmennya terhadap pasukan negara amat tinggi apabila dia sanggup terbang beribu batu dalam setiap perlawanan membabitkan skuad kebangsaan sejak pertama kali menyarung jersi negara pada Jun tahun lalu.

Impak kehadiran pemain kacukan Malaysia-Belgium itu dapat disaksikan ketika dia membantu skuad negara layak secara merit ke Piala Asia di Qatar tahun depan apabila mengemudi benteng negara dengan baik.

Malah, dia turut meledak satu gol ketika membenam Bangladesh 4-1, selain membantu pasukan menewaskan Turkmenistan 3-1 sebelum tewas 1-2 kepada Bahrain, untuk muncul antara lima naib juara terbaik di pusingan kelayakan Piala Asia pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 November 2022 @ 7:36 PM