(DARI kiri) Ahmad Khuzaimi, Syihan dan V Ruventhiran antara tiga pemain dipanggil bersama skuad ke Piala AFF. FOTO FB FAM
(DARI kiri) Ahmad Khuzaimi, Syihan dan V Ruventhiran antara tiga pemain dipanggil bersama skuad ke Piala AFF. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Jangan kalau pasukan kita gagal di Piala AFF nanti, jurulatih (Kim Pan-gon) jadi mangsa kecaman dan kritikan hingga tiba-tiba dipecat pula."

Demikian kata pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang mengakui agak terkejut dengan ketiadaan 12 tonggak utama skuad Harimau Malaya yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam.

Jelas Pekan, beliau memahami dan tidak mahu mempertikaikan langsung hak pemain atau pasukan yang tidak mahu menyertai pasukan kebangsaan untuk menghadapi Piala AFF hujung bulan depan kerana ia dilangsungkan di luar jendela aksi antarabangsa.

Namun, beliau tidak mahu Pan-gon dipersalahkan sekiranya gagal di saingan serantau itu, ketika pemain dan kelab itu sendiri tidak melihat kepentingan negara sebagai satu keutamaan.

"Itu hak pemain, hak pasukan, hak sesiapa saja untuk tidak beraksi kerana ia (Piala AFF) di luar perlawanan antarabangsa, malah tidak memberi mata ranking dan sebagainya.

"Tetapi persoalannya, bagaimanakah kita melihat kejohanan Piala AFF itu?. Memang ia tidak memberi mata ranking, tetapi ia satu kejohanan yang mempunyai 'out standing' di rantau ini.

"Perlu ingat kesan Piala AFF ini kepada pasukan kita cukup tinggi. Kalau kita tak berjaya, apa impaknya kepada Pan-gon…dulu Tan Cheng Hoe pun ditamatkan khidmat sebab gagal di Piala AFF.

"Takkan kita nak lihat perkara sama berlaku kepada pasukan sekarang. Bagi saya, Piala AFF juga penting kerana ia akan suntik perkara positif buat bola sepak kita jika berjaya nanti," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, akhbar ini melaporkan skuad Harimau Malaya bakal tampil di Piala AFF dengan 'skuad tempang' apabila seramai lapan tonggak utama daripada 12 pemain tidak dapat disenaraikan kali ini atas beberapa alasan termasuk urusan peribadi, komitmen keluarga dan masalah kecederaan.

Menerusi kenyataan media FAM, lapan pemain utama Johor Darul Ta'zim (JDT) yang sebelum ini sering diletakkan dalam kesebelasan utama skuad kebangsaan iaitu Arif Aiman Hanapi, Shahrul Saad, Corbin Ong, Nazmi Faiz Mansor, Akhyar Rashid, Matthew Davies dan Syafiq Ahmad tidak akan bersama skuad kali ini.

Bagaimanapun, 29 pemain lain termasuk dua wakil pemain dari JDT iaitu Safawi Rasid dan Ramadhan Saifullah akan menyertai pasukan bersama-sama Brendan Gan (Selangor FC), Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan FC), Ahmad Khuzaimi Piee (Negeri Sembilan FC) dan Dion Cools (FK Jablonec) dan beberapa tonggak utama lain serta muka baru yang dipanggil kali ini.

Latihan pusat negara akan bermula 29 November ini dan di Piala AFF nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 November 2022 @ 6:57 PM