AKSI  Choupo-Moting melakukan aksi akrobatik dalam percubaannya menjaringkan gol. FOTO AP
AKSI Choupo-Moting melakukan aksi akrobatik dalam percubaannya menjaringkan gol. FOTO AP
AFP

Munich, Jerman: Eric-Maxim Choupo-Moting meneruskan sentuhan berbisanya untuk Bayern Munich ketika gergasi Jerman itu menewaskan Inter Milan 2-0 untuk melengkapan rekod kemenangan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Choupo-Moting meledak jaringan dalam enam perlawanan berturut-turut dengan rembatan jarak jauh pada babak kedua bagi membantu kemenangan selesa Bayern di Munich.

Kemenangan itu yang keenam dalam enam perlawanan aksi kumpulan buat Bayern, kali kedua berturut-turut dilakukan dan ketiga dalam tempoh empat tahun.

"Kami tahu ia sesuatu yang istimewa menang semua enam perlawanan terutamanya dalam kumpulan sukar seperti ini," kata Choupo-Moting merujuk kemenangan mereka ke atas Inter, Barcelona dan Viktoria Plzen.

Dengan Bayern tidak tercabar selaku pendahulu kumpulan dan Inter selamat di tempat kedua membolehkan kedua-dua jurulatih merehatkan beberapa tonggak dalam aksi Kumpulan C.

Pavard meletakkan tuan rumah di depan minit ke-32 menerusi tandukan dan Choupo-Moting hampir menambah gol kedua apabila sepakan akrobatiknya menerjah gawang tetapi dibatalkan akibat ofsaid pada babak kedua.

Bagaimanapun, dia menebus kehampaan dengan meledak rembatan minit ke-73 untuk gol kedua sekali gus jaringan keenamnya pada enam perlawanan terakhir buat Bayern dalam semua kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 8:44 AM