AKSI  Musiala (tengah)  menewaskan penjaga gol Bremer,  Malte Seemann. FOTO AFP
AKSI Musiala (tengah) menewaskan penjaga gol Bremer, Malte Seemann. FOTO AFP
AFP

Berlin: Eric Maxim Choupo-Moting menjaringkan empat gol ketika gergasi Bundesliga, Bayern Munich membelasah kelab liga bawahan, Bremer 12-0 pada pusingan pertama Piala Jerman awal pagi tadi.

Jadual asal sepatutnya berlangsung awal bulan ini namun ditunda selepas berlaku jangkitan Covid-19 dalam skuad Bremer yang beraksi di liga wilayah Bremen.

Bayern mendahului 8-0 apabila Bremer terpaksa beraksi 10 pemain untuk tempoh 13 minit terakhir selepas pertahanan mereka, Ugo Nobile dibuang padang selepas mengasari pemain gantian Bayern, Michael Cuisance.

Walaupun tanpa bintang penyerang, Robert Lewandowski dan penjaga gol Jerman, Manuel Neuer yang direhatkan, Bayern mudah mara ke peringkat undian pusingan kedua Ahad ini.

Choupo-Moting melengkapkan hatriknya dalam tempoh 35 minit pertama dan selepas memakai lilitan kapten pada babak kedua, dia meledak gol keempatnya yang juga gol ke-10 Bayern pada lewat permainan.

Sayap Jerman, Leroy Sane menghantar bola kepada Choupo-Moting yang mudah menolak ke gawang untuk dua gol pertamanya sebelum bintang Cameroon itu menanduk gol ketiga.

Pemain tengah Jerman, Jamala Musiala, 18, yang terbabit dalam dua jaringan babak pertama meledak gol keempat sebelum pertahanan tuan rumah, Jan-Luca Warm menjaringkan gol sendiri.

Kedudukan babak pertama berakhir 5-0 tetapi Bayern pantas menambah dua gol lagi selepas rehat menerusi penyerang gantian, Malik Tillman dan Musiala.

Gol kelapan menerusi Sane ketika permainan berbaki 25 minit. Cuisance turut menggegar gawan lawan dan kemudiannya membantu Choupo-Moting meledak gol keempatnya.

Bouna Sarr dan Corentin Tolisso melengkapkan pesta gol Bayern menerusi jaringan minit akhir perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Ogos 2021 @ 8:48 AM