HOELER (dua dari kanan) menyempurnakan sepakan penalti yang menyaksikan Freiburg menyingkirkan Bayern Munich di suku akhir Piala Jerman. FOTO Reuters
HOELER (dua dari kanan) menyempurnakan sepakan penalti yang menyaksikan Freiburg menyingkirkan Bayern Munich di suku akhir Piala Jerman. FOTO Reuters
Reuters

Munich: Freiburg mengejutkan pasukan pilihan, Bayern Munich, 2-1, pada perlawanan suku akhir Piala Jerman, hari ini, menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan yang disempurnakan Lucas Hoeler.

Ia adalah kekalahan mengejut buat pendahulu Bundesliga itu dan perlawanan kedua di bawah bimbingan Thomas Tuchel dan Hoeler memastikan pasukannya mara ke separuh akhir selepas sepakannya memperdayakan penjaga gol, Yann Sommer.

"Saya tidak marah. Kami dibolosi dengan dua percubaan layan. Saya tidak ingat peluang lain yang dicipta pemain Freiburg," kata Tuchel selepas pasukannya terlepas trofi pertama musim ini.

"Hantaran terakhir itu sudah pasti berkaitan dengan ketepatan. Tetapi, kami masih ada momen bagus yang boleh digunakan, tetapi tidak mampu meneruskannya.

"Apapun, di akhirnya, ia adalah kesilapan kami. Saya sangat kecewa kami tewas aksi suku akhir di tempat sendiri dan sudah tentu, saya bertanggungjawab sepenuhnya."

Bayern yang masih segar dengan kemenangan 4-2 ke atas pencabar liga, Borussia Dortmund, Sabtu lalu, berad di depan pada minit ke-19 apabila Dayot Upamecano melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola sepakan sudut Joshua Kimmich.

Tetapi, Freiburg menemui cara untuk mengasak dan rembatan padu dari jarak 20 meter oleh Nicolas Hoefler menyaksikan mereka menyamakan kedudukan.

Bayern yang akan berdepan Manchester City pada perlawanan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), minggu depan, terus membuatkan penjaga gol Freiburg, Mark Flekken sibuk, tetapi Eric-Maxim Choupo-Moting atau Thomas Mueller dan Leroy Sane gagal menemui sasaran.

Pada ketika Tuchel dilihat hilang sabar di tepi padang, pemainnya terus menggandakan asakan, tetapi akhirnya Freiburg berjaya menambah jaringan selepas bola terkena tangan Jamal Musiala dalam kotak penalti.

Hoeler kemudian tenang menyempurnakan sepakan penalti untuk memastikan pasukannya mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 9:44 AM