CHOUPO-Moting (tengah) menjaringkan gol Bayern. FOTO AFP
CHOUPO-Moting (tengah) menjaringkan gol Bayern. FOTO AFP
AFP

Paris: Paris Saint-Germain menyingkirkan juara bertahan, Bayern Munich daripada Liga Juara-Juara walaupun Eric Maxim Choupo-Moting menggegar gawang bekas pasukannya di Parc des Princes pagi tadi.

Bagaimanapun, kemenangan 1-0 pada aksi suku akhir kedua itu gagal menyekat kemaraan gergasi Perancis ke separuh akhir menerusi jaringan di tempat lawan.

Percubaan Neymar dua kali terkena tiang untuk PSG pada babak pertama dan Choupo-Moting kemudiannya meletakkan Bayern di depan lima minit sebelum rehat.

Tetapi juara bertahan Eropah itu gagal menambah jaringan seterusnya yang amat diperlukan selepas tewas 2-3 pada aksi peringkat pertama di tempat sendiri minggu lalu.

PSG berjaya membalas dendam kekalahan 0-1 pada final musim lalu di Lisbon dan impian menjuarai Piala Eropah pertama terus membara buat kelab yang pemiliknya dari Qatar itu.

Skuad Mauricio Pochettino yang sebelum ini menyingkirkan Barcelona pada saingan 16 terakhir kini boleh menumpukan aksi separuh akhir menentang Manchester City atau Borussia Dortmund.

"Saya sangat gembira walaupun tewas. Kami berdepan pasukan hebat, juara Eropah tetapi kami mara separuh akhir,'' kata Neymar kepada RMC Sport.

"Kami pasukan sebenar. Paling penting kami mara dan kini kami boleh mengimpikan sesuatu yang lebih besar."

Bayern pula boleh menebus kekecewaan dengan berusaha meraih gelaran kesembilan berturut-turut Bundesliga dan keputusan mungkin boleh berubah jika penyerang prolifik Robert Lewandowski atau Serge Gnabry beraksi pada kedua-dua peringkat suku akhir.

"Bukan kerana malam ini kami tersingkir,'' kata kapten Manuel Neuer.

"Kami berhak menang di sini tetapi keputusan di Munich tidak cukup bagus. Tidak semuannya negatif. Kami menang Piala Kelab Dunia dan kami berpeluang meraih Bundesliga, jadi pada akhirnya ia musim yang positif. "

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 8:31 AM