KANE meraikan gol bersama rakan sepasukan selepas menumpaskan Cologne 1-0 - REUTERS
KANE meraikan gol bersama rakan sepasukan selepas menumpaskan Cologne 1-0 - REUTERS

Berlin:Penyerang Bayern Munich Harry Kane membuktikan dia cukup berbisa di depan gawang apabila membantu pasukan meraih kemenangan 1-0 menentang Cologne.

Kane melengkapkan perlawanan penuh indah buat Bayern dengan meledak gol pada babak pertama untuk memastikan pasukannya meraih kemenangan ke-10 seterusnya mengukuhkan cengkaman di persada liga.

Pemain berusia 30 tahun itu berkata, barisan pemain Bayern mempamerkan aksi terbaik dengan memastikan kemenangan memihak kepada mereka.

"Sesetengah orang mungkin melihat kepada keputusan dan memikirkan mereka jangkakan lebih lagi, tetapi ia satu persembahan yang amat bagus daripada kami hari ini.

"Kami menguasai perlawanan dengan amat bagus dan patut menambah beberapa gol lagi pada babak pertama," kata Kane yang juga kapten England.

Mengikut rekod, ketika ini Kane kini mengumpul 22 gol dalam semua pertandingan sejak menyertai Bayern Ogos lalu dan menyumbat sekurang-kurangnya satu gol dalam tujuh penampilan terakhirnya bagi semua pertandingan.

Pada perlawanan terbabit menyaksikan Leroy Sane terlepas peluang awal sebelum Kane akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-20.

Satu serangan balas pantas dari Bayern menyaksikan Cologne terpedaya dalam kotak penalti dan Sane meluru ke tengah untuk mengumpan kepada Eric-Maxim Choupo-Moting.

Pertahanan Cologne Julian Chabot, menghalang Choupo-Moting di atas garisan gol tetapi Kane berada di tempat yang tepat untuk menampan masuk.

Jaringan itu adalah ke-18 dalam Bundesliga buat Kane musim ini iaitu sekali ganda berbanding jumlah gol keseluruhan pasukan Cologne.

Pada masa sama, dia juga berjaya melepasi rekod jaringan pemain Inggeris dalam semusim liga yang dipegang Kevin Keegan (Hamburg) dan Jadon Sancho (Borussia Dortmund) dengan 17 gol.

Kemenangan tipis itu juga menyaksikan Bayern mengatasi Bayer Leverkusen di tangga teratas liga, dengan pasukan kendalian Xabi Alonso mampu merampas semula kedudukan mereka apabila bertemu Werder Bremen malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 10:10 AM