BARISAN pemain Melaka United tidak dibenarkan beraksi bersama pasukan lain untuk kempen Piala Malaysia. FOTO Melaka United Football Club
BARISAN pemain Melaka United tidak dibenarkan beraksi bersama pasukan lain untuk kempen Piala Malaysia. FOTO Melaka United Football Club
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Harapan pemain Melaka United (MU) untuk beraksi di Piala Malaysia dengan menyertai pasukan lain tidak kesampaian apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak membenarkan perkara itu berlaku.

Sebelum ini, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) mencadangkan kepada MFL memberi pelepasan khas buat pemain MU beraksi dengan pasukan lain dalam saingan Piala Malaysia bagi menyelamatkan nasib dan periuk nasi pemain.

Ia susulan keputusan MFL yang membatalkan penyertaan MU dalam Piala Malaysia selepas kelab itu gagal melunaskan tunggakan gaji.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, pihaknya tidak dapat membenarkan perkara terbabit kerana ia sebagai hukuman buat pasukan itu.

"Perkara ini tidak boleh dilakukan, disebabkan ada juga pasukan yang tidak layak di dalam Piala Malaysia. Ini antara hukuman yang terpaksa Melaka (MU) tanggung. Tiada pemindahan pemain Melaka kepada mana-mana pasukan Piala Malaysia," katanya.

Dengan pengesahan itu, ini bermakna pemain MU sudah boleh terus mencari pasukan baharu lebih awal sebagai persediaan untuk musim baharu pada musim depan.

Untuk rekod, MU juga dalam risiko 'dibuang' daripada beraksi dalam saingan liga utama Malaysia selepas tidak lulus pelesenan kelab bersama Sarawak United.

Bagaimanapun kedua-dua pasukan itu sudah mengemukakan rayuan pada minggu lalu dan keputusan akan diumumkan pada Jumaat ini.

Seandainya tetap gagal dalam proses rayuan, MU dan Sarawak United tidak boleh beraksi dalam Liga Super musim depan dan saingan itu hanya akan dteruskan dengan format 16 pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Oktober 2022 @ 3:15 PM