KESEBELASAN utama Melaka United ketika menentang Kuala Lumpur City FC, baru-baru ini, yang berkesudahan seri tanpa jaringan. FOTO FB MELAKA UNITED
KESEBELASAN utama Melaka United ketika menentang Kuala Lumpur City FC, baru-baru ini, yang berkesudahan seri tanpa jaringan. FOTO FB MELAKA UNITED
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bagi menyelamatkan nasib dan periuk nasi pemain Melaka United FC, Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) berharap Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi pelepasan khas agar mereka dapat beraksi dengan pasukan lain dalam saingan Piala Malaysia, Oktober ini.

Menerusi kenyataan bersama, PFAM berkata, cadangan itu diharapkan dapat dipertimbangkan MFL selepas pasukan Melaka United FC disahkan tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia susulan isu tunggakan gaji.

"Sehingga hari ini, pemain Melaka belum menerima bayaran tunggakan gaji sepenuhnya daripada pihak MUFC. PFAM amat kesal terhadap situasi sedang menimpa pemain.

"Pada masa sama, PFAM mencadangkan agar pelepasan khas diberikan kepada pemain Melaka yang terkesan akibat isu tunggakan gaji untuk mewakili mana-mana pasukan yang layak menyertai Piala Malaysia 2022. Namun perkara ini tertakluk kepada budi bicara MFL," katanya.

Semalam, MFL mengesahkan untuk membatalkan slot penyertaan Melaka United bagi saingan Piala Malaysia musim ini disebabkan kegagalan pasukan itu untuk mematuhi notis diberikan MFL dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji yang dihadapi pemain.

Jelas badan induk yang menjaga kebajikan pemain profesional bola sepak tempatan itu lagi, PFAM mendesak agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyegerakan tarikh perbicaraan bagi mendengar kes membabitkan kelab itu.

"Bagi pihak PFAM, laporan sudah dihantar secara rasmi ke FAM bagi tujuan perbicaraan.

"Perbicaraan ini akan dilangsungkan di Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan (NDRC) mengikut waktu yang ditetapkan FAM.

"Bagaimanapun, PFAM menggesa agar suatu tarikh perbicaraan dapat disegerakan oleh NDRC bagi tujuan pembelaan terhadap pemain dapat dilakukan secepat yang mungkin.

"Proses perbicaraan perlu dilaksanakan dalam waktu terdekat agar suatu keputusan rasmi oleh FAM dapat dikeluarkan untuk menangani masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 6:22 PM