PEMAIN Melaka fokus berdepan Terengganu. FOTO Melaka United
PEMAIN Melaka fokus berdepan Terengganu. FOTO Melaka United
Nazri Abu Bakar


Melaka: Fokus tinggi sepanjang 90 minit permainan menjadi teras pasukan Melaka United (MU) apabila melayan Terengganu FC pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam esok.

Penolong jurulatih, Md Noor Derus berkata, dia yakin pemain mampu memberi tentangan kepada pelawat yang memiliki barisan mantap dan berkualiti.

Katanya, walaupun berdepan situasi sukar, namun ia bukan halangan untuk pemain beraksi sebaik mungkin.

"Keseluruhan ada baki tiga perlawanan liga yang memerlukan tumpuan tinggi pada setiap aksi walaupun pasukan terkeluar untuk bersaing di Piala Malaysia.

"Insya-Allah pemain yang diturunkan sentiasa lebih fokus ketika mempertahankan kubu selain berusaha mencari jaringan," katanya.

Md Noor berkata, perlawanan itu juga pentas buat pemain tempatan membuktikan keupayaan mereka menterjemahkan kualiti yang tinggi berdepan barisan import lawan yang berpengalaman.

Sebelum ini Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan skuad terbabit dilarang beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim inisusulan tunggakan gaji yang membelenggu pasukan Liga Super itu.

Keputusan terbabit dibuat oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas skuad berkenaan gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 8:45 PM