STUART Ramalingam. FOTO Hairul Anuar Rahim
STUART Ramalingam. FOTO Hairul Anuar Rahim
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketiadaan Sarawak United dan Melaka United tidak akan menjejaskan perjalanan saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan meskipun bilangan pasukan akan berkurang kepada 16 pasukan berbanding 18 yang dirancang.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tetap akan meneruskan saingan dengan 16 pasukan walaupun ketiadaan dua pasukan terbabit.

"Betul kalau dua pasukan ini tidak mendapat lesen kita akan kekal dengan format 16 pasukan, sama seperti idea untuk musim 2024 di mana kita ada 16 pasukan sahaja," katanya.

Ujarnya lagi, Sarawak dan Melaka kemungkinan bakal diturunkan 'pangkat' dengan beraksi di saingan liga amatur atau lebih dikenali Liga M3 pada musim depan, namun segala pengesahan tentang itu perlu diputuskan oleh Liga Bolasepak Amatur (AFL).

"Berdasarkan format dan struktur liga kita saya tidak mempunyai kapasiti untuk komen mengenai kemasukan Sarawak United atau Melaka United dalam Liga M3 kalau jatuh dari Liga Super.

"AFL boleh membuat keputusan untuk menerima pasukan itu dalam saingan Liga M3 atau tidak," katanya.

Semalam, kedua-dua pasukan Liga Super itu gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan selepas gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk musim 2023.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi FIB, Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dengan Sarawak muncul pasukan paling bermasalah apabila gagal memenuhi hampir lapan keperluan untuk mendapatkan kelulusan.

Melaka pula hanya satu dengan masalah utama berkaitan kegagalan melunaskan tunggakan gaji sehingga Ogos 2022.

Bagaimanapun, pasukan terbabit diberi peluang untuk membuat rayuan bermula hari ini sehingga 19 Oktober ini dengan perlu menghantar rayuan sebelum atau pada jam 5 petang yang berbaki tujuh hari lagi.

Selain penggantungan lesen babitkan Sarawak dan Melaka, 10 pasukan Liga Super lain berjaya mendapatkan lesen sekaligus layak bersaing dalam Liga Super musim depan.

10 pasukan itu adalah Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, PJ City FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC.

Manakala enam pasukan Liga Perdana, Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Perak FC, PDRM FC and UiTM FC turut berjaya meraihnya dan akan beraksi di Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 12:39 PM