HANYA JDT serta juara Liga Perdana mengetahui kedudukan dalam undian Piala Malaysia. FOTO MFL
HANYA JDT serta juara Liga Perdana mengetahui kedudukan dalam undian Piala Malaysia. FOTO MFL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Undian Piala Malaysia menyaksikan kesemua pasukan dari Liga Super kecuali Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh merancang untuk memilih pasukan mana yang mahu ditemui pada aksi pusingan 16 saingan Piala Malaysia musim ini.

Berdasarkan sesi undian yang dilakukan secara langsung di laman sosial Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hanya pasukan dari Liga Perdana dan JDT yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super mengetahui kedudukan dalam undian itu.

Sebaliknya, 10 lagi pasukan Liga Super yang masih bertarung dan memiliki tiga aksi boleh mencongak kedudukan mana yang mahu dipilih atau mengelak berdepan pasukan kuat seperti JDT.

Menerusi undian itu, JDT yang juga juara sembila kali Liga Super berturut-turut bakal menanti pasukan di tangga ke lapan liga. Ketika ini, Selangor berada di posisi itu dan dijangka kedudukan berkenaan bakal berubah selepas tiga perlawanan liga.

Lawan juara bertahan Piala Malaysia iaitu Kuala Lumpur City FC juga tidak dapat diketahui kerana skuad warga kota yang cemerlang dalam saingan Piala AFC itu masih berpeluang untuk memanjat anak tangga liga ke kedudukan tiga teratas.

Buat lima pasukan Liga Perdana, Kuching City FC akan menanti pasukan di tangga ke-11 Liga Super manakala UITM FC akan bertemu pasukan di tangga ketiga.

Begitu juga buat naib juara Liga Perdana musim ini, Kelantan FC akan menunggu lawan di posisi ke-10 Liga Super, sementara Kelantan United dan PDRM FC bakal menanti pasukan di kedudukan kelima dan keenam.

Aksi Piala Malaysia akan membuka tirainya pada 25 Oktober ini dengan menggunakan format kalah mati.

KL City adalah juara bertahan selepas mengejutkan JDT dalam aksi final musim lalu yang menyaksikan anak buat Bojan Hodak menang 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Oktober 2022 @ 4:05 PM