STUART berkata, perubahan itu juga menyaksikan saingan Piala Malaysia lebih berkualiti. FOTO OWEE AH CHUN
STUART berkata, perubahan itu juga menyaksikan saingan Piala Malaysia lebih berkualiti. FOTO OWEE AH CHUN
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perubahan format Piala Malaysia bukanlah dilakukan semata-mata 'syok sendiri' namun lebih kepada untuk meningkatkan nilai kejohanan itu selain saingan dapat ditamatkan sebelum kontrak pemain berakhir 30 November depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Stuart Ramalingam berkata, format baharu yang menyaksikan perlawanan peringkat kumpulan dimansuhkan kemungkinan akan diteruskan pada musim akan datang berdasarkan penambahan perlawanan Liga Super.

Beliau berkata, perubahan itu juga menyaksikan saingan Piala Malaysia lebih berkualiti apabila setiap pasukan hanya mempunyai dua perlawanan saja pada peringkat awal untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya.

"Percaturan MFL adalah untuk memastikan perlawanan Piala Malaysia dapat dilaksanakan dengan sistematik dan selamat selain berkualiti iaitu tidak hanya tertumpu kepada jumlah perlawanan semata-mata.

"Menerusi percaturan baru ini, setiap perlawanan yang diharungi pasukan adalah sangat berharga iaitu baik untuk penonton dan juga pihak penaja.

"Sudah pastinya akan meningkatkan harga perlawanan Piala Malaysia termasuklah mengurangkan kos membabitkan logistik terutama pasukan berpangkalan di Sabah dan Sarawak," katanya.

Terdahulu, Undian Piala Malaysia menyaksikan kesemua pasukan dari Liga Super kecuali Johor Darul Ta'zim (JDT) boleh merancang untuk memilih pasukan mana yang mahu ditemui pada aksi pusingan 16 saingan Piala Malaysia musim ini.

Berdasarkan sesi undian yang dilakukan secara langsung di laman sosial MFL hanya pasukan dari Liga Perdana dan JDT yang sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super mengetahui kedudukan dalam undian itu.

Sebaliknya, 10 lagi pasukan Liga Super yang masih bertarung dan memiliki tiga aksi boleh mencongak kedudukan mana yang mahu dipilih atau mengelak berdepan pasukan kuat seperti JDT.

Menerusi undian itu, JDT yang juga juara sembilan kali Liga Super berturut-turut bakal menanti pasukan di tangga ke lapan liga.

Ketika ini, Selangor berada di posisi itu dan dijangka kedudukan berkenaan bakal berubah selepas tiga perlawanan liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 2:51 PM