PERGADUHAN penyokong ketika perlawanan Kelantan  FC menentang Perak FC di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PERGADUHAN penyokong ketika perlawanan Kelantan FC menentang Perak FC di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, semalam. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan berdiam diri dan akan menyiasat insiden kekecohan penyokong pada aksi Liga Perdana membabitkan Kelantan FC dan Perak FC di Stadium Sultan Muhammad ke IV, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Disiplin badan induk itu bagi meneliti pelbagai aspek termasuk soal keselamatan dan penguasaan di venue terbabit.

Katanya, insiden itu tidak sepatutnya berlaku jika segelintir penyokong lebih berdisiplin dan bertanggungjawab dalam menjaga tingkah laku ketika menyokong pasukan masing-masing.

"MFL (Liga Bolasepak Malaysia) sudah melakukan sebaik mungkin dalam mengingatkan semua pasukan agar mengetatkan kawalan dan keselamatan di venue perlawanan.

"Tapi masih berlaku insiden yang tidak diingini dan kita memang kecewa. FAM tidak menyokong atau menggalakkan perkara seperti itu berlaku kerana ia soal keselamatan sama ada pemain, pegawai, penyokong dan anak kecil yang hadir.

"(Penyokong) kena jaga tatasusila dan sikap sebab benda ini tidak baik dan boleh mendatangkan masalah lain pula.

"Jadi di peringkat FAM, kita akan bawa perkara ini ke Jawatankuasa Disiplin dan di sana nanti akan diputuskan tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Semalam, insiden balingan mercun dan batu mencemari perlawanan Liga Perdana yang menyaksikan Perak menang 2-1 ke atas Kelantan di Kota Bharu.

Susulan insiden itu, penyokong Perak terpaksa memasuki tengah padang bagi menyelamatkan diri daripada tindakan ganas penyokong tuan rumah yang difahamkan berang dengan tindakan provokasi dicetuskan penyokong pelawat.

Malah, turut tular di laman sosial, bas penyokong dan pasukan Perak di baling batu hingga mengakibatkan tingkap bas retak dan pecah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 6:25 PM