Stuart Ramalingam. FOTO HM Digital
Stuart Ramalingam. FOTO HM Digital
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Serik dengan sikap tidak bertanggungjawab segelintir penyokong hingga menyebabkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terpaksa membayar denda, badan induk itu mempertingkatkan tahap keselamatan ketika aksi separuh akhir pertama Piala AFF antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Sebelum  perlawanan, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Superintendan Kamal Khan Mohd Shariff turun padang bagi melakukan tinjauan di sekitar perkarangan dengan tumpuan khusus bagi membendung kegiatan menyeludup masuk bahan terlarang serta ulat tiket.

Menurut Stuart, FAM mengambil berat insiden penyokong melemparkan bom udara pada aksi menentang Myanmar yang boleh mengancam nyawa penyokong lain.

"Pertama, tinjauan berkenaan bagi membincangkan isu memperkasakan lagi sistem penjualan tiket dan aliran kemasukan penyokong ke stadium. Turut dipantau, kegiatan ulat tiket di sekitar pekarangan stadium.

"Kedua, tinjauan turut dilakukan untuk mengenal pasti kelemahan keselamatan perimeter stadium yang  membolehkan penyokong menyeludup masuk bahan terlarang yang sudah tentu tidak boleh terlepas jika melalui pemeriksaan keselamatan di pintu masuk stadium.

"Sudah tentu ini salah satu punca berlakunya insiden penyokong melemparkan bom udara ke arah trek stadium sejurus wisel penamat aksi terakhir Kumpulan A bertemu Myanmar di Stadium Nasional, 24 November lalu yang menyebabkan FAM mungkin dikenakan denda Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF).

"Namun ia bukan hanya kerana FAM bakal didenda, tetapi berbalik kepada soal keselamatan penyokong yang mana jika bom udara atau mercun tersalah baling, ia boleh mengakibatkan penyokong yang tidak bersalah mengalami kecederaan," katanya.

Seorang penyokong Malaysia buta mata kanan akibat terkena serpihan mercun yang dilempar penyokong lain sewaktu perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2014 bertemu Singapura di Stadium Nasional pada 2011. FAM tidak mahu perkara tidak diingini seperti itu berulang.

Justeru langkah tinjauan keselamatan yang dibuat ini diharap mampu memperkasakan tahap keselamatan di stadium pada perlawanan akan datang.

"FAM berharap  penyokong turut  bekerjasama dalam memastikan tahap keselamatan dan keselesaan di dalam stadium bagi memastikan perkara tidak diingini ini tidak berlaku," katanya.

Dalam aksi separuh akhir yang disaksikan 87,000 penyokong itu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe diikat tanpa jaringan dengan aksi timbal balik dijadualkan berlangsung di Stadium Rajamangala, Rabu ini.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 5:56 PM