ZAKARIA Rahim
ZAKARIA Rahim
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perubahan struktur dengan menghimpunkan 18 pasukan dalam Liga Super bermula musim depan bakal menuntut setiap pengurusan kelab supaya bekerja lebih keras bagi memastikan kantung kewangan masing-masing mencukupi.

Hal ini kerana, perbelanjaan untuk menyediakan pasukan lengkap termasuk membabitkan barisan pemain yang bakal beraksi di Liga Simpanan bukannya murah apabila akan berlakunya peningkatan kos hampir sekali ganda.

Berdasarkan kepada anggaran kasar, setiap pasukan perlu menyediakan dana sekurang-kurangnya RM15 juta bagi memastikan mereka selesa dan tidak berhadapan masalah tunggakan gaji.

Situasi berkenaan bukanlah tidak masuk akal kerana menurut bekas pengurus Selangor, Zakaria Rahim setiap kelab pada musim depan perlu menyediakan sekurang-kurangnya 36 pemain dan 20 pegawai pasukan untuk mengharungi saingan Liga Super dan Simpanan.

Beliau berkata, perbelanjaan bagi mengharungi saingan liga sudah pastinya akan meningkat apabila perlu menempuh 34 perlawanan sekali gus menuntut kos tambahan yang perlu disediakan kelak.

"Saya boleh katakan RM15 juta adalah jumlah dana yang diperlukan bagi setiap pasukan bagi mengharungi saingan Liga Super dan menyediakan pasukan termasuk perbelanjaan lain pada musim depan.

"Jumlah berkenaan untuk pasukan berasa 'selesa' iaitu mampu memberikan saingan saja namun untuk mencabar kelompok teratas liga mungkin dana ini tidak mencukupi.

"Persoalannya adakah setiap pasukan mampu untuk mencari dana sebanyak itu? Bagi saya ketika ini pun untuk mencari penaja dalam jumlah RM5 juta pun agak sukar," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Struktur saingan Liga Super musim depan berwajah baharu apabila 18 pasukan bakal bersaing selepas mendapat lampu hijau daripada semua pasukan dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Kali Ke-3 minggu lalu.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, berdasarkan kepada jumlah dana berkenaan kemungkinan hanya tiga pasukan saja mampu menyediakan peruntukan terbabit secara konsisten.

"Sudah tentu Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berhadapan masalah menyediakan dana berkenaan manakala pasukan lain mungkin Selangor dan Terengganu. "Saya boleh katakan pada musim depan kita melihat mungkin pasukan sama berada di kelompok teratas liga manakala dapat menjangkakan kelab yang akan terperosok di tangga tercorot," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Julai 2022 @ 10:01 PM