JURULATIH bola sepak berpengalaman, Azraai Khor Abdullah. FOTO ARKIB NSTP
JURULATIH bola sepak berpengalaman, Azraai Khor Abdullah. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jangan sampai makan diri! Itu peringatan jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah terhadap inisiatif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melakukan perubahan terhadap struktur dengan menghimpunkan 18 pasukan dalam Liga Super, bermula musim depan.

Bukan tidak menerima perubahan dilakukan badan pengelola liga itu, namun Azraai berkata, sudah tentu perkara utama akan membelenggu pasukan kelak adalah peningkatan perbelanjaan apabila mengharungi 34 perlawanan dalam satu musim.

Beliau berkata, kebanyakan pasukan ketika ini dilihat agak 'sesak' untuk mencari dana bagi memastikan kelab mereka mampu mengharungi perlawanan liga selain turut bergelut menyelesaikan bayaran gaji pemain setiap bulan.

"Perubahan struktur liga yang diperkenalkan MFL cukup bagus kerana penyokong bola sepak tanah air bakal melihat lebih banyak perlawanan dan kompetitif selain turut memberi ruang serta peluang kepada pemain muda menyinar di saingan liga simpanan.

"Namun, sejauh mana pasukan bersedia mengharungi cabaran ini? Ini kerana kita lihatlah sekarang ada pasukan bertaraf gergasi pun bergelut untuk membayar gaji pemain dan menampung perbelanjaan lain.

"Jika saingan liga bertambah sudah tentu kos pun meningkat, sekali gus pasukan Liga Premier yang dinaik taraf itu akan berada dalam situasi tenat," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan struktur saingan Liga Super musim depan berwajah baharu apabila 18 pasukan bakal bersaing selepas mendapat lampu hijau daripada semua pasukan dalam Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Luar Biasa Kali Ke-3, kelmarin.

Mengesahkan perubahan sistem liga tempatan itu, Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, peningkatan jumlah perlawanan mulai musim depan bakal menjadi satu signal apabila Liga Super bakal menjadi satu gelanggang yang lebih serius, kompetitif serta bersaing tinggi buat kepada 18 pasukan bertanding.

Beliau percaya, penstrukturan semula Liga Super itu bukan sahaja mengekalkan standard antarabangsa, malah mampu menaikkan nilai komersial Liga Malaysia yang kini dinobatkan sebagai liga nombor satu Asia Tenggara.

Selain itu, Azraai berkata, standard pasukan Liga Premier ketika ini dilihat agak jauh berbeza berbanding kelab di Liga Super, sekali gus bakal menyaksikan terdapat situasi berat sebelah bakal berlaku kelak.

"Jika lihat latar belakang pasukan Liga Premier ketika ini pun menyaksikan taraf mereka masih jauh lagi, sekali gus mereka perlu melakukan sesuatu untuk mengelak menjadi mangsa belasahan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 1:00 PM