EFFENDI Jagan Abdullah. - FOTO NSTP
EFFENDI Jagan Abdullah. - FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Nilai perbelanjaan secara keseluruhan pasukan Liga Super yang akan beraksi pada musim ini bukan sedikit apabila dianggarkan lebih RM200 juta dikeluarkan oleh 14 kelab bertanding di Liga Super untuk musim 2023.

Peningkatan itu didorong kepada pasukan mahu menyediakan barisan pemain dan kejurulatihan yang mantap termasuk manfaatkan peluang peningkatan kuota import kepada sembilan indivdu dalam usaha meraih keputusan positif kelak.

Menurut Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berdasarkan kepada pemerhatiannya terdapat sekurang-kurangnya tiga kelab membelanjakan lebih RM25 juta untuk menyiapkan pasukan bagi mengharungi saingan musim 2023.

Katanya, pasukan berkenaan yang dikatakan mungkin tampil lebih berbisa itu adalah membabitkan Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC.

"Terdapat enam pasukan pula membabitkan Kuala Lumpur, Sabah, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Negeri Sembilan dan Sri Pahang FC membelanjakan dalam lingkungan RM15 juta.

"Pasukan selebihnya iaitu Perak FC, PDRM FC, Kuching FC, Kelantan FC dan Kelantan United mengeluarkan peruntukan tidak lebih RM10 juta.

"Sudah pastinya, JDT antara pasukan yang mengeluarkan belanja besar berdasarkan kepada kualiti pemain yang dimiliki mereka," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, Effendi berkata, walaupun bajet perbelanjaan meningkat pada musim 2023 namun dilihat pembelian pemain terutamanya di kalangan 'awang import' tetap sama dan tiada perubahan besar.

"Seperti biasa, kelab masih berminat menggunakan pemain import 'recycle' sekali gus tiada elemen kejutan seperti yang diharapkan penyokong.

"Cuma perubahan yang dapat dilihat adalah pasukan yang bertanding berani menggunakan pemain muda untuk menggalas cabaran mengharungi musim 2023,"katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kekuatan kewangan kelab pada musim 2023, Effendi berkata, perkara itu menjadi persoalan memandang kos sudah pastinya meningkat berdasarkan jumlah perlawanan semakin banyak selain perlu juga menguruskan pasukan pembangunan.

"Perkara utama adalah pembayaran gaji. Jika terlalu ghairah mengambil pemain dan memenuhi kuota awang import tanpa memikirkan peruntukan yang ada sudah pastinya masalah kewangan akan melanda mereka kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 2:24 PM