STUART Ramalingam.
STUART Ramalingam.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) boleh tersenyum dalam mengharungi saingan 2023 apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan terdapat penambahan dana wang hak penyiaran berbanding yang mereka peroleh pada musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Stuart Ramalingam berkata, penambahan dana terbabit berdasarkan kepada perkembangan positif membabitkan penajaan yang diterima badan pengelola liga itu.

Beliau berkata, pada musim lalu, pasukan Liga M menerima kira-kira RM12 juta dana wang hak penyiaran yang diagihkan secara berperingkat. "Pada musim lalu, pasukan Liga Super menerima RM500,000 manakala Liga Perdana pula membabitkan RM250,000.

"Faktor dana berkenaan agak berkurangan pada musim lalu adalah kerana dalam fasa pemulihan selepas mengharungi pandemik Covid-19. "Pada musim ini, saya mengesahkan ada peningkatan jumlah pemberian dana terbabit kepada pasukan Liga M sekali gus dapat membantu mereka mengharungi saingan liga," katanya yang tidak memgumumkan secara terperinci jumlah sebenar bakal diterima pasukan Liga M.

Berdasarkan rekod beberapa tahun sebelum ini, pasukan Liga Super akan menerima geran tahunan sebanyak RM3 juta manakala pasukan Liga Perdana pula sebanyak RM1 juta.

Susulan situasi kewangan pada 2019, pasukan Liga M hanya menerima geran tahunan yang kini dikenali sebagai agihan hak penyiaran sebanyak separuh iaitu RM1.5 juta buat pasukan Liga Super sementara RM500,000 untuk pasukan Liga Perdana.

Kemudiannya bagi musim 2020, jumlah itu terus menyusut buat pasukan Liga Super apabila mereka menerima RM1 juta dan RM500,000 diberikan kepada pasukan Liga Perdana sebagai agihan hak penyiaran.

Namun, pada musim 2021pula jumlah penajaan kepada pasukan Liga M tidak diumumkan kepada umum atas faktor tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2023 @ 6:14 PM