PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku bakal menyertai semula Inter Milan secara pinjaman dari Chelsea. FOTO AFP
PENYERANG Belgium, Romelu Lukaku bakal menyertai semula Inter Milan secara pinjaman dari Chelsea. FOTO AFP
AFP

Milan: Romelu Lukaku dijangka tiba di Itali, hari ini, menjelang kepulangan semulanya ke Inter Milan secara pinjaman dari Chelsea, kata Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Giuseppe Marotta.

Apabila ditanya wartawan mengenai kehadiran penyerang Belgium itu di Milan selepas selesai mesyuarat di Persekutuan Bolasepak Itali di Rom, Marotta berkata: "Petang ini, saya fikir...' sambil masuk ke dalam kereta.

Dia enggan menjawab sama ada ejen bebas, Paulo Dybala akan datang ke Inter pada ketika perpindahannya dilaporkan selesai dan pasukan itu mahu menjual pemain untuk mendapatkan penyerang Argentina itu.

Lukaku dijangka menjalani ujian perubatan, esok sebelum melengkapkan kepulangan semula ke Inter secara rasmi, selepas Chelsea dilaporkan bersetuju Inter perlu membayar 8 juta euro (RM37 juta) serta tambahan 3 juta euro (RM13.88 juta) lagi sebagai bonus bagi pinjaman itu.

Pemain berusia 29 tahun itu akan mengetuai jentera serangan Inter sekali lagi dalam usaha membantu pasukan itu merampas semula gelaran juara Serie A dan sanggup menerima pemotongan gaji.

Lukaku meninggalkan London selepas gagal menarik perhatian pada perpindahan kali kedua ke Chelsea dan gagal menepati yuran perpindahan £97.5 juta (RM522.54 juta) dari Inter pada musim panas lalu.

Dia menjadi pujaan penyokong dalam tempoh dua tahun di Inter apabila menjaringkan 64 gol dalam 95 perlawanan dan membantu mereka merangkul gelaran Serie A pertama dalam tempoh sedekad pada 2021, sekali gus menamatkan kemarau 11 tahun dan penguasaan Juventus.

Bagaimanapun, masalah kewangan dialami pemilik Inter, Suning Group serta pandemik Covid-19 menyebabkan pengurus, Antonio Conte meninggalkan pasukan selepas memenangi gelaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 11:51 PM