ROMELU Lukaku akan menyertai semula Inter Milan secara pinjaman selama setahun. FOTO REUTERS
ROMELU Lukaku akan menyertai semula Inter Milan secara pinjaman selama setahun. FOTO REUTERS
AFP

London: Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku akan menyertai semula Inter Milan menerusi pinjaman selama setahun selepas mengharungi musim mengecewakan bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, menurut laporan hari ini.

Inter dilaporkan sedia membayar yuran pinjaman AS$8.4 juta (RM36.94 juta) untuk menandatangani Lukaku, yang dilaporkan sedia dipotong gaji bagi meninggalkan Stamford Bridge.

Penyerang Belgium itu menyertai Chelsea dengan rekod perpindahan kelab iaitu £97.5 juta (RM525.87 juta) sebelum permulaan musim lalu dan mendakwa perpindahan itu penuh emosi apabila kembali semula ke kelab pernah diwakilinya dari 2011 hingga 2014.

Tetapi, selepas menjaringkan empat gol dalam empat penampilan awal, kepulangan penyerang berusia 29 tahun itu tidak memberangsangkan.

Lukaku menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak Chelsea dengan 15 gol, tetapi bekas penyerang Manchester United dan Everton itu hanya bermain lapan kali dalam kempen EPL.

Dia hanya menjaringkan tiga gol dalam 15 penampilan terakhir dan gagal memberi balasan setimpal dengan yuran perpindahannya.

Dalam satu temu bual kontroversi bersama televisyen Itali pada Disember lalu, Lukaku mengakui kurang gembira dengan cara dia dimainkan oleh pengurus Chelsea, Thomas Tuchel dan memberi bayangan sedang berfikir untuk berpindah.

Lukaku, yang memenangi gelaran Serie A bersama Inter pada 2021, digugurkan oleh Tuchel susulan kenyataan itu dan terpaksa meminta maaf kepada penyokong dan kelab itu pada Januari.

Skuad bimbingan Tuchel menamatkan kempen di tempat ketiga EPL dan memenangi Piala Kelab Dunia, tetapi mereka tewas dua kali kepada Liverpool di final Piala FA dan final Piala Liga.

Lukaku dikatakan mendesak untuk kembali semula ke Inter dan pemilik bersama baharu Chelsea, Todd Boehly memberi lampu hijau untuk perpindahan itu dan selepas ia diselesaikan, the Blues boleh mencari pengganti untuk mengukuhkan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2022 @ 8:12 AM