LUKAKU gembira dapat kembali semula menyarung jersi Inter. FOTO EPA
LUKAKU gembira dapat kembali semula menyarung jersi Inter. FOTO EPA
AFP

Milan: Selepas setahun menyertai Chelsea dan gagal mempamerkan prestasi cemerlang, Romelu Lukaku akhirnya pulang ke pangkuan kelab Itali, Inter Milan apabila melengkapkan perpindahan secara pinjaman bagi tempoh semusim.

Penyerang antarabangsa Belgium itu akan kembali ke San Siro selepas Chelsea bersetuju dengan perjanjian yang dilaporkan di mana Inter membuat pembayaran lapan juta euro (RM36 juta) serta potensi tiga juta euro (RM13 juta) bonus untuk pinjaman berkenaan.

Kelab London itu mengeluarkan kenyataan mengesahkan perpindahan secara pinjaman dalam tempoh semusim.

Kepulangannya diumumkan secara rasmi dalam video yang disiarkan di saluran media sosial Inter dengan Lukaku berkata 'saya kembali' semasa bercakap dengan pengerusi Steven Zhang di ibu pejabat kelab berkenaan.

Pemain berusia 29 tahun itu sekali lagi akan mengetuai serangan Inter ketika mereka cuba merebut kembali gelaran Serie A selepas dilaporkan menerima pemotongan gaji 8.5 juta euro (RM39 juta) untuk kempen akan datang.

Media Itali melaporkan bahawa Inter dan Chelsea bersetuju bahawa pinjaman boleh dilanjutkan untuk semusim lagi sekiranya perpindahan itu berjaya, dan peguamnya Sebastien Ledure berkata 'apa-apa sahaja boleh berlaku' dari sekarang hingga akhir musim depan.

"Ia benar-benar beremosi. Sudah banyak Inter berikan kepada saya dan saya harap mulai sekarang saya boleh melakukan lebih baik daripada sebelumnya... Saya tidak meninggalkan rumah saya apabila saya berlepas ke England," katanya.

Lukaku memberitahu pemberita yang hadir menyambut ketibaannya di lapangan terbang Linate Milan pada awal pagi Rabu bahawa dia 'sangat gembira' untuk kembali semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 9:32 AM