LUKAKU melambai penyokong  di bangunan Coni, Milan. - FOTO EPA
LUKAKU melambai penyokong di bangunan Coni, Milan. - FOTO EPA
AFP

PENYERANG Manchester United, Romelu Lukaku tiba di Milan hari ini bagi menjalani ujian perubatan, menurut media Itali.

"Lukaku milik kami" penyokong Inter Milan bersorak ketika mengalu-alukan ketibaan pemain itu di lapangan terbang.

Pemain berusia 26 tahun itu tidak beraksi walaupun seminit ketika jelajah pramusim United ketika spekulasi mengaitkan perpindahannya ke Serie A dengan Inter Milan menjadi kelab pilihan.

Akhbar Itali melaporkan yuran perpindahan Lukaku bernilai 65 juta euro (RM304 juta) dengan tambahan bonus sekitar 10 juta euro (RM46 juta) hingga 13 juta euro (RM60 juta).

Akhbar Sports, Gazzetta Dello Sport berkata, Lukaku datang ke Milan bersama ejen Federico Pastorello dan bakal menjalani ujian perubatan yang ketat.

Jurulatih Inter, Antonio Conte berkata kelmarin dia amat berharap dapat memuktamadkan perjanjian untuk membawa bekas bintang Everton itu ke San Siro.

"Lukaku pemain yang bagus, penyerang yang mahu saya beli ketika menjadi jurulatih Chelsea di antara 2016-2018,” kata Conte.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 8:31 PM