AKSI Riyad Mahrez (dua dari kanan) menjaringkan gol pertama City.
AKSI Riyad Mahrez (dua dari kanan) menjaringkan gol pertama City.
AFP

Manchester, United Kingdom: Manchester City perlu menang kesemua baki enam perlawanan Liga Perdana untuk mengekalkan gelaran, menurut pengurus Pep Guardiola yang menjangkakan Liverpool akan terus memberikan cabaran sengit sehingga ke penghujung musim.

City kembali mendahului satu mata di depan Reds selepas jaringan pada babak kedua menerusi Riyad Mahrez, Phil Foden dan Bernardo Silva menewaskan Brighton 3-0 di Etihad.

Liverpool menjadi pendahulu seketika selepas membelasah Manchester United 4-0 semalam dan Guardiola kagum dengan prestasi skuad Jurgen Klopp.

"Kami berdepan salah satu pasukan terbaik. Mereka miliki apa sahaja dan itu sebabnya bersaing dengan mereka amat bermakna bagi kami," kata Guardiola.

"Ia mudah. Liverpool akan menang semua baki perlawanan. Jika kami tercicir mata, mereka akan juara dan jika kami menang semua baki perlawanan, kami akan pertahankan gelaran liga."

City berpengalaman ketika bersaing sengit dengan Liverpool tiga musim lalu apabila mereka menang kesemua baki 14 perlawanan untuk mengatasi pencabarnya itu dengan hanya satu mata bagi menjuarai liga.

Guardiola tampak lebih berminat dengan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara selepas tidak menurunkan beberapa pemain utama ketika tewas 2-3 kepada Liverpool pada aksi separuh akhir Piala FA, minggu lalu.

Kevin De Bruyne antara pemain yang kembali beraksi selepas direhatkan susulan kecederaan buku lali.

"Apabila orang memperkatakan pemilihan pemain untuk Piala FA, ia ada kaitan dengan kecederaan," tambah Guardiola. "Saya enggan tanggung risiko kerana Liga Perdana sangat penting."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 7:06 AM