MIMI tak rujuk mana-mana watak tetapi menggunakan khidmat jurulatih lakon untuk jayakan drama bersiri Framed. - FOTO Genes Gulitah
MIMI tak rujuk mana-mana watak tetapi menggunakan khidmat jurulatih lakon untuk jayakan drama bersiri Framed. - FOTO Genes Gulitah
Syafil Syazwan Jefri


Keserasian seseorang pelakon dengan karakter yang dibawakan dalam sesuatu naskhah adalah keutamaan bagi memastikan roh dan jiwa karakter itu meninggalkan impak kepada penonton.

Itulah yang diraikan pelakon, Mimi Lana saat menjayakan watak Lia dalam drama bersiri penyiasatan berjudul Framed lakonannya.

Namun, proses untuk 'masuk' ke dalam karakter itu bukanlah satu proses mudah dan memerlukan bantuan beberapa pihak termasuk bimbingan daripada pengarah, Sein Qudsi.

"Saya rasa daripada segi karakter, kita tahu Lia ini menghadapi kemurungan. Kita dapat lihat dia mengambil ubat-ubatan dan sebagainya.

"Dia kehilangan ibu sejak usia 10 tahun. Dia membesar dan menjaga ayahnya yang sakit.

"Apabila kena masuk ke dalam karakter ini, saya perlu rasa tertekan. Ditambah pula, saya datang daripada keluarga yang bahagia dan tak pernah melalui pengalaman seperti itu.

"Kemurungan tidaklah sampai saya kena ambil ubat atau apa. Tapi, karakter itu yang murung," katanya.

Tambah Mimi, dia juga berusaha untuk mewujudkan karakter itu secara organik tanpa merujuk mana-mana rujukan watak lain.

"Saya tak ada rujuk mana-mana watak. Karakter ini sangat organik saya rasa sebab saya banyak berbual dengan pengarah dan penulis skrip.

"Saya banyak luangkan masa dengan mereka. Kalau saya tak faham atau tak puas hati, saya akan hubungi mereka dan tanya.

"Skrip ini agak mengelirukan sebab bermain dengan garis masa. Jadi, dengan bantuan mereka ini, alhamdulillah saya dapat jayakannya," katanya.

Kata Mimi lagi, dia juga mengambil inisiatif sendiri dengan menggunakan khidmat jurulatih lakon bagi memantapkan lagi skil lakonannya.

"Saya memang sentiasa memberi tumpuan serius kepada setiap projek yang saya buat. Saya sangat cintakan kerja yang saya buat dan saya nakkan yang terbaik dalam setiap projek.

"Jadi, kalau ada benda yang perlu saya buat seperti ambil jurulatih lakonan, saya akan ambil.

"Sebelum ini pun saya pernah ambil juga untuk beberapa projek. Kalau buat filem, memang dah disediakan. Tapi, untuk drama, tak disediakan. Jadi, saya ambil inisiatif sendiri.

"Selepas dua minggu pertama saya jalani penggambaran, saya rasa seperti ada orang kena bimbing saya dan bercakap mengenai jalan cerita supaya saya lebih memahami.

"Seperti yang saya katakan, disebabkan saya nak karakter ini wujud secara organik, saya perlu 'gali' lagi," katanya.

Lebih mencabar adalah apabila kebanyakan jadual penggambaran dibuat pada waktu malam untuk disesuaikan dengan jalan cerita itu.

"Ambil masa juga untuk keluar daripada karakter Lia sebab kebanyakan penggambaran adalah waktu malam.

"Jadi, jadual tidur dah tak betul dan ia agak mengganggu juga. Dengan cuaca yang sangat suram," katanya.

Bergandingan dengan nama besar dan berpengalaman seperti Rusdi Ramli dan Vanida Imran juga menjadi satu pengalaman berharga buat Mimi.

MIMI teruja melakonkan watak Lia dalam drama bersiri Framed.  - FOTO Genes Gulitah
MIMI teruja melakonkan watak Lia dalam drama bersiri Framed. - FOTO Genes Gulitah

"Berlakon dengan Abang Rusdi, satu pengalaman menarik. Dia banyak berkongsi pengalaman dan tak kedekut ilmu.

"Mudah bekerja dengan dia sebab walaupun babak yang penuh tekanan, dia masih boleh gelak-gelak.

"Saya rasa, kebanyakan babak lain yang turut mencabar adalah bersama karakter ibu saya lakonan Vanida Imran sebab saya memang mengaguminya.

"Saya rasa semua orang pun tahu dia adalah pelakon yang sangat-sangat bagus. Saya teruja dapat berkongsi pentas dengannya.

"Berdebar jugalah sebab kita nak kena sama tahap dengan dia dan pengalamannya tak dapat dinafikan lagi," katanya.

Bagaimanapun, setiap cabaran itu tidak pernah mematahkan semangatnya memandangkan rasa cintanya terhadap kerjaya lakonan lebih mendalam.

"Saya rasa saya dah biasa sebab itulah kerja sebagai pelakon. Daripada semua projek pun, saya ada perasaan begitu juga. Bukan untuk Framed sahaja.

"Saya sangat teliti dengan apa juga projek yang saya buat, skrip saya dan sebagainya. Kesan itu biasalah. Sewaktu penggambaran, kita kerja habis-habisan dan dah selesai, kita lepaskan," katanya.

Ditanya mengenai jalinan keserasian antara Mimi dengan gandingannya iaitu Meerqeen, Mimi menggambarkan sosok pelakon itu sebagai seorang yang mudah bekerjasama.

"Bagi saya, Meerqeen adalah pelakon yang mudah bekerja. Tak banyak kerenah dan dia nak belajar ilmu baharu. Dia banyak bertanya juga.

"Keserasian antara kami berdasarkan skrip sebab kami di set setiap hari kan. Jadi, saya rasa tak perlu sampai ke luar set," katanya.

Selain itu, Framed juga turut meninggalkan kenangan menarik buat Mimi kerana berpeluang melakukan babak aksi sendiri tanpa bantuan pelagak ngeri.

"Babak aksi tak banyak sangat. Ada sedikit, tapi tidaklah terlalu ganas. Semua babak aksi membabitkan saya, saya buat sendiri tanpa menggunakan pelagak ngeri.

"Sebab saya rasa, sejak saya berlaku dalam The Expert, saya dah mula buat babak aksi sendiri. Saya nak cuba buat sendiri. Saya pun ada belajar serba sedikit mengenai babak aksi dibantu oleh koreografer.

"Alhamdulillah tak ada kecederaan. Indipendent Pictures sangat menjaga keselamatan kami, pelakon.

"Memang apa yang saya dengar mengenai syarikat produksi ini sebelum ini, sama seperti yang saya sendiri alami. Mereka sangat menjaga kualiti dan kebajikan. Jadi, tak ada kecederaan.

"Bekerja dengan Sein, dia seorang yang sangat teliti. Tak ada masalah bekerja dengan dia, cuma dia akan 'push'. Tapi, saya suka dan berseronok dengan pengalaman itu sebab saya perlukan bimbingan daripada seorang pengarah yang begitu.

"Jadi, kalau kita bekerja dengan pengarah rajin dan boleh bimbing, mestilah kita gembira dan kita akan buat lebih lagi," katanya.

Kerap kali muncul dengan pelbagai karya, Mimi menganggap itu sebagai rezeki buatnya dalam industri ini.

"Alhamdulillah syukur. Saya tak tahu nak cakap apa, tapi itu semua rezeki daripada Allah," katanya.

Drama Framed yang ditayangkan di platform Astro Premiere itu turut dijayakan antaranya Sangeeta Krishnasamy, Riz Amin, Khir Rahman dan Ram Naaga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 6:00 AM