ANNA Jobling makin laris di seberang dek fenomena drama Melur Untuk Firdaus. - FOTO Hazreen Mohamad
ANNA Jobling makin laris di seberang dek fenomena drama Melur Untuk Firdaus. - FOTO Hazreen Mohamad
Najiy Jefri


Siapa sangka, drama Melur Untuk Firdaus lakonan pelakon jelita Anna Jobling membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya untuk mencipta nama di Indonesia.

Dalam diam Anna berjaya menembusi pasaran industri kreatif di negara sebarang dan bakal terbabit dengan beberapa filem.

Biarpun kerap ke Jakarta untuk menjalani penggambaran, Anna berkata, dia belum bersedia meninggalkan tanah air tercinta dan berhijrah.

Kata Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 22, buat masa ini dia lebih rela berulang-alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta demi memenuhi komitmen penggambaran.

"Memang saya serius mahu mengembangkan karier di Indonesia dan kerja berpasukan juga sudah menampakkan hasil sepanjang tempoh dua tahun ini.

"Mencari ruang di sana juga sukar kerana ramai bakat yang bagus, tambahan pula saya tidak bernaung di bawah mana-mana agensi lokal, kiranya semua usaha ini bermula dari bawah.

"Sekarang banyak tawaran saya dapat, cuma belum terfikir berhijrah ke Indonesia walaupun jadual penggambaran di sana sudah penuh. Sayang pula nak tinggal," katanya.

Sebagai pendatang baharu, Anna berkata, dia perlu bijak menyusun karier seni di tanah air dan Indonesia kerana setiap tawaran yang datang memberi cabaran baharu kepada dirinya.

Katanya, dia bertuah memiliki pasukan yang hebat dalam merencana perjalanannya sebagai pelakon supaya terus kekal relevan selain menambah ilmu baharu.

PELUANG kembang bakat di luar negara. - FOTO Hazreen Mohamad
PELUANG kembang bakat di luar negara. - FOTO Hazreen Mohamad

Kata bintang drama Melur Untuk Firdaus itu, sesi menambahkan ilmu serta memantapkan penguasaan bahasa sebahagian daripada usahanya sebagai pelakon.

"Kerap juga saya ke kelas bahasa memandangkan selepas ini ada beberapa naskhah terbitan produksi Indonesia bakal disempurnakan.

"Ini bermakna masa saya akan banyak di sana, manakala di Kuala Lumpur juga sudah disusun jadual penggambaran untuk projek akan datang. Saya masih mahu berlakon di negara sendiri.

"Berdasarkan perancangan, masa saya di Jakarta dan Kuala Lumpur juga secara giliran melihat kepada keperluan," kata Anna ketika ditemui Harian Metro pada Majlis Rumah Terbuka Gema Lebaran Anna Jobling di Cyberjaya, baru-baru ini.

Katanya lagi, dia berasa gembira dan terharu apabila dapat bertemu peminat setianya.

"Majlis rumah terbuka ini dihadiri lebih 200 peminat seluruh negara. Saya sangat terharu apabila mereka sanggup datang dari jauh dan berjumpa saya.

"Inilah momen yang saya tidak akan lupakan. Insya-Allah pasukan saya juga dalam perancangan untuk bertemu dengan peminat di Indonesia pula selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 6:49 AM