ADIRA bernasib baik dapat kerjasama komposer hebat.
ADIRA bernasib baik dapat kerjasama komposer hebat.
Norhayati Nordin


Penyanyi jelita, Adira Suhaimi tidak kisah sekalipun diberi jolokan 'Ratu Soundtrack' (penyanyi yang menyanyikan lagu runut bunyi atau OST). Sebaliknya naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan ini mahu terus kekal relevan dalam era muzik semasa.

Adira, 32, atau pemilik nama sebenar Siti Adira Suhaimi menyifatkan dirinya bertuah apabila lagu runut bunyi yang dirakamkan kerap disiarkan baik di panggung wayang, televisyen atau radio sekali gus mempopularkan lagu yang dinyanyikan.

"Ia umpama promosi secara percuma apabila lagu yang dirakam dijadikan runut bunyi sesebuah filem atau drama rantaian.

"Jika mahu mengeluarkan bajet untuk mempromosikan lagu di televisyen memerlukan kos yang tinggi.

"Jadi apabila sesebuah lagu kerap dimainkan di dalam filem atau drama rantaian mudah bagi lagu itu 'melekat' di jiwa penonton," katanya.

Kata Adira lagi, kepercayaan diberi oleh komposer dan penulis lirik kepadanya untuk merakamkan sesebuah lagu tidak akan diambil mudah dan dianggap satu tanggungjawab berat.

"Saya akan pastikan beri komitmen penuh pada tanggungjawab yang diberi. Menjadi tanggungjawab saya untuk melakukan yang terbaik dalam kerja rakaman sesebuah lagu," kata Adira yang tampil bersama OST terbaharu berjudul Kasih.

NYAYIKAN lagu Kasih OST untuk filem Memoir Seorang Guru.
NYAYIKAN lagu Kasih OST untuk filem Memoir Seorang Guru.

Lagu Kasih menjadi tema untuk filem Memoir Seorang Guru yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 30 Mei ini.

Filem adaptasi novel Azizi Abdullah ini menampilkan barisan pelakon hebat tanah air antaranya Datuk Rosyam Nor, Ellie Suriaty, Zul Huzaimy, Nabila Huda, Johan Asa'ri dan Trisha Ooi.

Filem terbitan Kalam Ariff Holdings Sdn Bhd (KAHSB) dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) diarahkan oleh Kyoll Hamzah.

Video muzik lagu Kasih juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Lagu ini diterbitkan oleh Nova Music hasil ciptaan Ayden Ali, Adeef Den, Iqie Hugh serta lirik oleh Datuk Arisz Abd Rahman.

Adira berkata, dia bernasib baik dapat bekerjasama dengan barisan komposer hebat itu selain bangga diberi penghormatan sekali lagi untuk menyanyikan lagu runut bunyi buat filem baharu.

"Sebagai penyanyi, saya okey saja menyanyikan sebarang lagu, asal sesuai melodi dan liriknya dengan suara saya.

"Pada pandangan saya ia ternyata sebuah karya menggamit kenangan buat bekas pelajar yang pernah berguru dengan guru yang garang dan tegas." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mei 2024 @ 6:26 AM