DATUK Stuart Ramalingam. FOTO Agensi
DATUK Stuart Ramalingam. FOTO Agensi
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Hujung bulan ini adalah tarikh akhir buat dua kelab Liga Super yang berhadapan kemelut tunggakan gaji Kuala Lumpur City (KL City) FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk menyerahkan dokumen penyelesaian tunggakan gaji.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Stuart Ramalingam, kedua-dua kelab terbabit perlu mengemukakannya kepada First Instance Body (FIB).

Bagaimanapun ujar Stuart, KL City sudah menghantar dokumen tertentu untuk penyelesaian baru-baru ini manakala FIB masih menunggu dokumen daripada pasukan Kedah.

"Saya harap pasukan-pasukan ini (KL City dan Kedah) akan patuh kepada apa sahaja yang diputuskan oleh FIB," katanya ketika ditemui pemberita pada program Back to School 2024 anjuran MFL dan penaja rasmi Liga Malaysia (Liga-M), AEON BIG, semalam.

Terdahulu, akhbar ini mendedahkan beberapa pemain babitkan dua pasukan iaitu Kedah Darul Aman FC dan KL City FC mengakui masih tidak menerima tunggakan gaji yang sangkut sejak musim lalu.

Ada antara pemain di kelab terbabit terpaksa bekerja sambilan di restoran serta kantin, selain ada yang menyamakan diri mereka seperti pengemis yang terpaksa meminta-minta tunggakan gaji kepada pihak pengurusan.

Jika gagal, beberapa hukuman boleh diambil MFL antaranya pemotongan mata dan menolak lesen kebangsaan untuk bersaing dalam Liga Super sekiranya masalah itu berterusan.

Sebelum ini, Melaka United FC, Sarawak United FC dan Perak FC dikenakan pemotongan mata sebelum musim bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 3:06 PM