ZIYECH tidak mungkin akan disenaraikan pada saat akhir untuk kejohanan dwitahunan itu. FOTO Agensi
ZIYECH tidak mungkin akan disenaraikan pada saat akhir untuk kejohanan dwitahunan itu. FOTO Agensi
AFP

Rabat: Bintang Chelsea, Hakim Ziyech diketepikan dari senarai awal skuad Piala Negara-Negara Afrika Maghribi dengan jurulatih, Vahid Halilhodzic memberi alasan ia kehadiran pemain itu bakal mengganggu keharmonian pasukan.

Halilhodzic menamakan skuad 25 pemain dengan senarai muktamad akan diputuskan pada 30 Disember.

Bagaimanapun, Ziyech tidak mungkin akan disenaraikan pada saat akhir untuk kejohanan dwitahunan yang berlangsung di Cameroon bermula dari 9 Januari hingga 6 Februari.

Ziyech dan Halilhodzic bertegang urat sejak pertengahan tahun selepas jurulatih veteran itu menegurnya kerana sikap kurang disiplin.

"Kepaduan skuad sangat rapuh dan tingkah laku buruk boleh menjejaskan kestabilan. Pada masa ini terdapat suasana yang baik dan saya tidak akan membenarkan sesiapa merosakkannya," katanya.

Walaupun kelab Eropah mengancam untuk enggan melepaskan pemain mereka namun Halilhodzic menyenaraikan beberapa pemain dalam skuadnya.

Antaranya ialah pemain sayap Paris Saint Germain Achraf Hakimi, penyerang Youssef En-Nesyri dan sayap kanan Barcelona, Abdessamad Ezzalzouli.

Maghribi memulakan kempen mereka menentang Ghana pada 10 Januari dan kemudian berdepan aksi peringkat kumpulan selanjutnya bertemu Comoros (14 Januari) dan Gabon (18 Januari).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 9:16 AM