Halilhodzic (kanan) dan Lekjaa bergambar selepas majlis menandatangani perjanjian sebagai jurulatih Maghribi. FOTO AFP
Halilhodzic (kanan) dan Lekjaa bergambar selepas majlis menandatangani perjanjian sebagai jurulatih Maghribi. FOTO AFP
Reuters

VAHID Halilhodzic menandatangani kontrak empat tahun sebagai jurulatih baharu Maghribi namun diberikan senarai tugas cuba besar sebagai sasaran utama mengembalikan maruah bola sepak negara itu.

Warga Bosnia berusia 67 tahun itu menggantikan Herve Renard, yang meletak jawatan selepas Maghribi tersingkir dalam kelompok 16 terakhir Piala Negara Afrika di Mesir walaupun dilabelkan antara salah satu pasukan pilihan kejohanan.

Bekas penyerang antarabangsa Yugoslavia kembali dalam tugas melatih skuad negara, selepas dia membawa Algeria melangkah ke kelompok 16 terakhir pada Piala Dunia 2014.

Dia juga membantu Ivory Coast layak ke Piala Dunia 2010 dan Jepun untuk edisi 2018 di Russia namun dalam kedua-dua kejohanan berkenaan dia dipecat sebelum kejohanan peringkat akhir berlangsung.

Halilhodzic dijangka menerima gaji sekitar 80,000 euro (RM370,238.37) menurut Presiden Persekutuan Bola Sepak Maghribi, Fouzi Lekjaa dalam satu sidang media.

Namun ujian bagi jurulatih baharu itu adalah melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Negara Afrika 2021, memastikan Maghribi layak bersaing dalam Piala Dunia Qatar setahun kemudian dan menang Piala Negara Afrika pada 2023.

“Gagal untuk mencapai mana-mana sasaran ini secara automatik kontrak jurulatih akan ditamatkan,” kata Lekjaa.

“Ia tanggungjawab besar untuk melatih Maghribi, cukup mencabar dan satu kebanggaan,” kata Halilhodzic.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:36 PM