ZIYECH semakin tersisih di Chelsea.
ZIYECH semakin tersisih di Chelsea.
Agensi

London: Perpindahan £8 juta (RM47.36 juta) Hakim Ziyech dari Chelsea ke Al-Nassr tidak menjadi kenyataan selepas berdepan masalah lutut ketika menjalani ujian perubatan.

N'Golo Kanté, Kalidou Koulibaly dan Édouard Mendy sudah pun meninggalkan Chelsea untuk beraksi di Liga Pro Saudi dan Ziyech sepatutnya turut berpindah ke Timur Tengah.

Pemain antarabangsa Maghribi itu dijadualkan menyertai Cristiano Ronaldo di Al-Nassr selepas kurang mendapat tempat dalam kesebelasan Blues dan dijangka menandatangani kontrak tiga tahun.

Tetapi perpindahan itu berdepan 'bahaya' susulan kegagalan ujian perubatan manakala turut dilaporkan terdapat masalah dalam terma peribadi pada saat akhir.

Belum dapat dipastikan sama ada Al Nassr mahu meneruskan hasrat mereka mendapatkan Ziyech manakala Chelsea dijangka berusaha mendapatkan pembeli lain untuk bekas pemain Ajax itu.

Chelsea dalam proses membina semula skuad mereka dan mahu mengumpul sehingga £200 juta (RM1.184 bilion) yang menyaksikan Mason Mount bakal melengkapkan perpindahan £60 juta (RM355 juta) ke Manchester United.

Ziyech berminat meninggalkan Chelsea sejak musim panas lalu dan kecewa selepas masalah teknikal menyebabkan perpindahan secara pinjaman ke Paris St Germain gagal pada saat akhir Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Jun 2023 @ 9:46 PM